Thursday, 25 November 2010

Modal insan, kekalutan budaya

Sumber: Utusan Malaysia
Oleh Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

SEORANG pengamal psikiatri British menafsir manusia yang dijadikan sebagai modal dalam ragam pengeluaran sedang menghadapi sejenis penyakit yang dikenali sebagai selesema (affluenza). Oliver James mengkaji hubung kait antara tekanan kepada mendapatkan keperluan material dan kesejahteraan hidup menjadikan manusia semakin kalut dan resah. Ragam pengeluaran yang bersandarkan prinsip, manusia adalah selari dengan lain-lain sumber seperti model, mesin dan metod telah menjerumus suasana mental yang resah, tidak tenteram dan seterusnya menyumbang kepada penyakit.

Maka, apabila Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan berlaku peningkatan penjawat awam yang bermasalah – prestasi rendah, berpenyakit dan disiplin – ramai tidak ramai yang melahirkan rasa terkejut ataupun gelisah. Mereka sudah faham bahawa akibat terlalu menekankan kepada penghasilan dan memenuhi tekanan luaran, penjawat awam seolah-olah sedang dilanda virus affluenza. Sebahagian besar yang menghadapi masalah kesihatan, ada hubung kait dengan tekanan pekerjaan yang mereka terima, termasuk iklim dalam pejabat dan hubungan dengan rakan sepejabat semakin bermasalah.

Sistem pengurusan yang sedang dibudayakan lebih menumpukan kepada peningkatan produktiviti sehingga melupakan nilai-nilai keinsanan yang sepatutnya dijadikan landasan melunaskan tanggungjawab sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang terbaik. Manusia hanya sekadar alat atau modal dalam menghasilkan produk, manusia tidak dianggap sebagai rakan kongsi yang ikut bersama membangunkan kelangsungan organisasi.

Sifat manusia sebagai alat menghasilkan produk telah memunculkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Susun lapis pekerjaan menjadi terlalui berhierarki dan berlapis-lapis sehingga menampakkan bahawa pengurusan atasan lebih penting daripada mereka yang benar-benar menghasilkan produk. Pekerja bawahan kurang mempunyai mobiliti dan peningkatan kerjaya berbanding pengurusan atasan. Inilah faktor yang menambahkan sengsara sesetengan penjawat awam.

Dasar perkhidmatan awam yang memberikan pengiktirafan berlebihan kepada satu skim perkhidmatan menyebabkan lain-lain skim perkhidmatan tawar hati. Mereka masih tetap merupakan asset produktiviti, tetapi hanyalah sekadar memadai.

Asasnya adalah kerana sistem itu sendiri. Sistem yang mengamalkan pelbagai konsep pengurusan moden yang dipinjam daripada budaya pengurusan Barat tidak berupaya menjadikan pekerja sebagai insan. Walau pun pernah dicuba untuk mendefinisikan semula falsafah perkhidmatan awam, ia tetap menerima tolakan yang berganda kerana konsep pengurusan berasaskan falsafah Islam tidak dapat menepati kehendak antarabangsa.

Maka beberapa teori dan penemuan dalam bidang gelagat organisasi, dorongan manusia (dari sifat semula jadinya malas kepada berprestasi tinggi) melalui pengiktirafan kewangan, kehendak ‘pemegang saham’ yang sukar menerima teguran dan pendapat, maka yang hanya menjadi mangsa keadaan ialah penjawat awam. Ketidakselarasan kehendak dan peraturan menyebabkan penjawat awam adakalanya tersepit antara kehendak yang bercanggah itu.

Dalam pengurusan Islam, konsep pengurusan menjurus kepada hasrat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Manusia, hanyalah disebut dengan istilah an-Nas dalam al-Quran adalah bersifat umum. Sifat insan yang digambarkan oleh al-Quran ialah menuju kepada keimanan dan ketakwaan dalam setiap tindak-tanduknya, termasuk berfikir dan berhubung sesama manusia.

Manusia turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan bisikan-bisikan yang sentiasa ada di sekeliling kehidupan mereka. Bisikan-bisikan itu akan menjadi lebih teruja dalam keadaan seseorang itu mempunyai kuasa, terutama kuasa pemutus dan menentukan kedudukan pekerja bawahan. Antara bisikan-bisikan yang sentiasa mencabar kekentalan iman seseorang ialah bisikan hati agar melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga manusia sentiasa lalai, zalim dan resah.

Hal ini merupakan amaran yang telah diutarakan oleh Allah SWT dalam surah an-Nas. Surah tersebut meskipun hanya terdiri dari enam ayat yang pendek, ia tetap merupakan peringatan yang amat besar buat manusia.

“(1) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (2) Yang Menguasai sekalian manusia. (3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (4) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (5) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (6) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Tentunya untuk memahami dengan mendalam mengenai hakikat manusia, kita perlu kembali kepada persekitaran kehidupan manusia itu sendiri. Allah SWT menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, lengkap dengan kuasa berfikir dan membuka pintu rezeki dengan mengharamkan manusia mengkhianati manusia yang lain. Di sinilah kekuatan sistem pengurusan Islam, ia telah memberikan peringatan yang jelas bahawa dalam berorganisasi setiap orang adalah mesti sentiasa berada dalam persekitaran yang harmoni.

Bagi mendapatkan rezeki yang halal, Allah SWT turut mencipta pelbagai tumbuhan, binatang ternakan dan kekuatan akal untuk menggarap apa yang ada dalam alam. Tetapi, Allah juga melarang manusia agar tidak melakukan secara berlebihan sehingga boleh merosakkan alam. Dan, ini semakin bertentangan dengan falsafah pengurusan moden yang akan mengambil apa sahaja tanpa berusaha mengawal kerosakan yang bakal terjadi.

Seseorang pekerja perlu dilatih dengan pengetahuan baru, kerana perkembangan pengetahuan menjadi semakin cepat berubah apabila manusia sentiasa menyibukkan diri melakukan penelitian secara teknikal. Setiap masa manusia memperbaharui tekadnya kerana penerokaan baru akan menjadikan sesebuah organisasi sebagai peneraju pasaran. Peneraju pasaran itulah dilihat sebagai kelompok yang berjaya.

Sistem itu terus berkembang dalam masyarakat dengan tidak menampakkan kesungguhan moral dan ketegasan falsafah agama. Moral dan agama merupakan kepunyaan individu, maka setiap perbincangan hanya difokuskan kepada persoalan yang bersifat mekanistik dan boleh diukur berdasarkan kriteria tertentu.

Percanggahan asas inilah menyebabkan terlalu banyak masukan baru yang dicuba ke dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam bukan sahaja dikehendaki mematuhi nilai-nilai ‘mendewakan’ ketua, menghormati arahan dan keputusan, malah disogokkan dengan pelbagai pendekatan teknikal bagi memberikan imej organisasi dengan lebih gah dan besar.

Ketika musim membangkitkan persoalan kualiti, maka agensi awam rasa ikut bersalah jika tidak mempunyai pengiktirafan piawaian kualiti. Maka berlumba-lumbalah pihak agensi awam untuk mendapatkannya. Setelah memperolehnya, pematuhan prosedur kerja menjadi masalah, sedangkan lebih ramai lagi pekerja bawahan tidak memahami kehendak pihak pengurusan.

Komunikasi hanya bersifat atas ke bawah. Jika ada pun bentuk komunikasi bawah ke atas, ia berlaku dalam ruang yang terhad. Sedangkan dalam Islam manusia digalakkan berhubung, meningkatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan sepanjang masa. Setiap kelemahan dan kekuatan dibincang bersama agar jalan terbaik boleh dicari.

Penjawat awam yang bemasalah bukan tidak boleh dipulihkan. Selagi hayatnya masih ada, mereka masih tetap boleh menyumbang meskipun dilihat mempunyai masalah kesihatan, kecualilah yang bersifat kronik.

Islam tetap memberikan peluang kedua kepada setiap orang, jika ianya tersasul dan menghadapi masalah. Dengan peluang kedua ini, seseorang itu akan muncul sebagai pekerja yang cemerlang, dengan syarat iklim organisasi tidak menyumbang kepada tekanan dan pemaksaan yang keterlaluan. Hakikatnya, di manakah peranan pembimbing kerana teladan Nabi Muhamad SAW dalam pengurusan modal insan jelas memberikan semangat dan motivasi.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiah Malaysia (Yadim) dan juga bekas pegawai takbir diplomatik /kadi/hakim Mahkamah Syariah

Wednesday, 24 November 2010

Raya Korban..takkan jadi isu juga?

Betullah kata orang, kalau dah pembangkang tu, membangkang je lah kerja dia. Saya fikir kewujudan pembangkang dalam konteks politik demokrasi adalah sesuatu yang sihat. Untuk mendapat sebuah kerajaan yang baik, maka secara prinsipnya kena ada pembangkang yang kuat. Ini untuk memastikan prinsip check and balance dapat dipraktikkan sebaik mungkin.

Secara asasnya kerajaan bertindak sebagai penggubal dasar untuk dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Manakala pembangkang pula perlu menjadi watch dog kepada dasar tersebut agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Kalu ini dapat dilaksanakan dalam sesebuah negara, Insya Allah rakyat akan sejahtera dan negara akan aman dan stabil politik dan ekonomi.

Tapi kadang-kadang apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan di sesetengah negara dilihat terlalu kuat sehinggakan corak pemerintahan seolah-olah kuku besi padahal negara dikatakan menganut faham demokrasi. Manakala di satu pihak yang lain pula, pembangkang dalam banyak situasi dilihat hanya semata-mata untuk jadi pembangkang. Tidak kira apa saja polisi kerajaan sama ada baik atau tidak kepada rakyat terus dikritik sesuai dengan peranan mereka sebagai pembangkang.

Di Malaysia saya melihat trend ini semakin berleluasa apabila sistem demokrasi nampaknya telah sedikit demi sedikit disalah gunakan. Kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh demokrasi telah dijadikan suatu restu untuk membantai apa saja institusi dalam negara. Konon pada zaman ledakan maklumat ICT ini manusia sudah melangkau nilai-nilai tradisi. Adab mungkin diguna pakai untuk maksud protokol sahaja manakala dalam kehidupan harian biasa persoalan adab dan adat ini sangat relatif sifatnya. Justeru kini bukan sesuatu yang janggal kita lihat manusia berserban, berkopiah, berjubah tidur atas jalan raya sebagai tanda protes. Jangan kita kaget jika menyaksikan manusia berkopiah, berjanggut lebat memegang lilin hormat kematian mayat bukan Islam. Jangan terkejut jika nama Allah bebas diiklankan oleh sesiapa sahaja di negara kita kerana kita kan demokratik.

Saya fikir ketidaksamaan sambutan Eidul Adha tempoh hari di antara negara kita dan Arab Saudi tidak menimbulkan isu besar dalam kalangan kita orang Islam di Malaysia kerana pengurusan Islam dalam negara adalah antara yang terbaik dalam dunia. Rupanya saya silap, kerana isu ini telah dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat. Ahli Parlimen itu pula ialah Naib Presiden Parti Islam se-Malaysia (PAS). Apa pun kekeliruan telah dijawab oleh YB Menteri JPM Datuk Jamil Khir dan Ketua Pengarah JAKIM. Weblog lain pun ada menyiarkan jawapan dalam versi yang lain tetapi tetap menjawab persoalan yang sama iaitu tiada apa yang salah dalam sambutan Hari Raya Korban yang lalu.

Pada saya perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu pun kerana jika YB berkenaan mengadakan sedikit home work pasti beliau akan jumpa jawapannya. Kalau allergic dengan ustaz-ustaz yang makan gaji dengan kerajaan persekutuan, YB tanyalah ustaz-ustaz dalam PAS yang faham metodologi penetapan Hari Raya bagi sesebuah negara. Janganlah hanya kerana ada ruang untuk bercakap, untuk dapat publisiti, maka benda yang tak patut kita bahas pun ingin dicuba bahaskan. Ini hanya akan menambah mual orang ramai terhadap gelagat orang politik dalam negara kita. Kalau kata bersedia untuk ambil alih pemerintahan dari kerajaan BN maka perelokkanlah perangai dan tingkah laku kita agar ada beza di antara kita dan kerajaan yang kita kutuk itu. Kalu tak, apa guna tukar kerajaan. Baik baiki yang dah sedia ada, daripada mengharap yang belum tentu lagi. Kata orang tua-tua, dentum guruh di langit air dalam tempayan jangan dicurah dahulu kerana belum pasti hujan akan turun. Baik beringat!

Monday, 22 November 2010

Forum Jati Diri 1Malaysia

Hari ini saya berpeluang hadir Forum Jati Diri 1Malaysia anjuran bersama Gapena, Berita Harian dan Jabatan Penerangan Malaysia. Tetamu kehormat ialah Tan Sri Pendita Ismail Hussin dan Datuk Abdullah Morad, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia.

Teruja saya bila dapat mendengar kupasan idea tokoh-tokoh yang menjadi panelis forum iaitu Datuk A. Aziz Draman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dr. Lim Swee Tin, cendekiawan Bahasa Melayu dari UPM. Ditambah lagi dengan selitan hujah oleh moderator forum, Datuk Dr. Abdul Latif Bakar yang mewakili Gapena.

Forum ini berkisar tentang bagaimana kita memahami gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia terutama dalam konteks budaya. Dengan membawa contoh-contoh yang terang dan nyata, Datuk A. Aziz menyatakan bahawa bahasa dan budaya Melayu perlu diperkasakan oleh semua pihak. Bahasa Melayu mendapat pengiktirafan perlembagaan manakala budaya Melayu adalah teras kepada Kebudayaan Kebangsaan. Justeru tidak timbul isu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara.

Selain itu, 1Malaysia bukan bermaksud menyamaratakan semua perkara tetapi ia adalah mengembalikan hak masing-masing selaras dengan perlembagaan yang berakar daripada kebudayaan Melayu semenjak ratusan tahun dahulu. Sangat malang sekiranya ada pihak-pihak yang mentafsir 1Malaysia sebagai ‘sama rata’ kerana ia akan berlawanan dengan semangat dan peruntukan perlembagaan.

Dr. Lim pula dengan nada yang penuh bersemangat menegaskan peri mustahaknya masyarakat pelbagai kaum mengerti dengan jelas maksud ‘penerimaan’ yang dijadikan salah satu prinsip dalam Gagasan 1Malaysia. Beliau banyak mengambil contoh diri beliau dan masyarakat Cina dan siam di Kelantan yang berjaya menyerap budaya Melayu dalam kehidupan dan perbualan harian mereka. Menarik sekali apabila beliau menyarankan agar orang Cina di Malaysia perlu insaf bahawa mereka adalah orang Cina warganegara Malaysia bukan orang Cina warganegara Tanah Besar China. Justeru mereka perlu memahami hakikat ini dan berinteraksi dengan kaum lain menggunakan Bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris.

Namun dengan nada yang kesal beliau menyatakan kadang-kadang orang Melayu sendiri tidak memartabatkan bahasa Melayu. Orang Melayu dilihat malu untuk berbahasa Melayu padahal ia adalah bahasa rasmi negara. Justeru untuk mengharap orang lain berbahasa Melayu maka tentulah orang Melayu terlebih dahulu kena berbahasa Melayu.
Semasa mengakhiri forum, Datuk Dr. Latif selaku moderator berhujah bahawa untuk memantapkan jati diri 1Malaysia dalam masyarakat, 2 halangan utama mesti kita atasi iaitu masalah penguatkuasaan dan peranan pemimpin. Sekiranya 2 isu ini dapat kita tangani dengan baik maka Insya Allah, gagasan 1Malaysia akan dapat kita jayakan dan mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Hujah Ketua Pengarah Penerangan juga menarik untuk diperkatakan dalam tulisan ini. Datuk Abdullah semasa dalam ucapan penghargaannya menceritakan pertembungan di antara kedaulatan bahasa dan komunikasi. Beliau mengambil contoh buku kecil terbitan Jabatan penerangan berjudul 1Malaysia. Buku tersebut diterbitkan dalam bahasa Melayu tetapi telah mendapat permintaan untuk diterbitkan dalam tiga bahasa lain. Ini ujarnya untuk tujuan komunikasi agar rakyat semua bangsa faham apa itu 1Malaysia. Dengan nada kesal beliau menyatakan bahawa sepatutnya tidak timbul masalah komunikasi kerana semua rakyat Malaysia patut faham bahasa Melayu, namun realiti adalah sebaliknya. Akur dengan permintaan tersebut, maka Jabatan Penerangan menerbitkan pula dalam bahasa-bahasa seperti yang dimahukan.

Saya merasakan bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh para panelis adalah tepat dan meyakinkan, cuma saya tidak sempat bertanya soalan yang bermain dalam fikiran akhir-akhir ini. Sekiranya berpeluang pada masa-masa yang lain saya ingin bertanya begini: sejauh manakah impak faham liberalisme dan pluralisme yang kini kian merebak dalam masyarakat kita terutama generasi muda terhadap gagasan 1Malaysia?Ianya semakin hari semakin ketara ditambah lagi dengan keintiman pihak mereka dengan parti-parti politik dalam negara. Saya fikir isu ini menarik untuk dikupas dalam satu diskusi yang berasingan.

Sunday, 21 November 2010

Kembali bertugas…

16 November 2010 saya melaporkan diri untuk bertugas setelah dua tahun bercuti (study leave). Alhamdulillah, ternyata banyak sekali perkara-perkara baru yang saya temui sepanjang tempoh tersebut yang sudah tentu memberi manfaat baik secara langsung mahu pun tidak langsung.

Terasa agak kekok sedikit untuk memulakan langkah, maklum sahajalah lama berehat. Namun suasana di kantor masih lagi mesra seperti dahulu, tetap ceria walaupun kerja bertalu-talu datang berkunjung. Syabas saya ucapkan kepada semua anggota Jabatan yang sentiasa dedikasi menjunjung amanah negara. Walaupun masih dalam mood raya, namun kerja tetap didahulukan, pencapaian semestinya diutamakan.

Dalam minggu ini suasana politik dalam negara juga kembali panas khasnya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Rata-rata media arus perdana dan media maya memapar berita kekalutan melanda parti tersebut dari sebabak ke sebabak. Isu pengundi hantu, isu gerrymandering, politik wang dan hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan jelas merupakan perkara utama yang sedang melanda PKR. Calon Timbalan Presiden Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dari bertanding dan seterusnya mengisytiharkan meletak jawatan dalam parti, Mustafa Kamil Ayub, Naib Presiden semasa yang bertanding jawatan Timbalan Presiden juga tidak berpuas hati dengan PKR dan mendesak ditangguhkan pemilihan . Selain mereka, ramai lagi pemimpin PKR peringkat negeri dan cabang serta ahli-ahli juga mendesak supaya parti direformasikan kerana berlaku banyak penyalahgunaan kuasa dan salah urus yang serius di peringkat tertinggi.

Namun, sebagaimana biasa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali , Saifuddin Nasution dan beberapa orang pimpinan PKR berterusan menyalahkan UMNO dan BN atas kemelut dalaman parti mereka. Ini semua propaganda BN untuk menghancurkan Pakatan Rakyat kata mereka. Ahli PKR yang mengkritik parti adalah sama ada dirasuk oleh ruh BN atau ada agenda peribadi, bukannya genuine untuk menambah baik parti.

Itulah Machiavellian politics, yang elok hanya kita, yang tak elok semuanya orang lain. Ini yang disebut orang politik suku, agama suku. Ada faham?

Wednesday, 9 June 2010

Lari dari tanggungjawab

Ada sahabat bertanya kepada saya semalam, betulkah kita tidak perlu buat masjid? Apa yang perlu ialah bersolat dan mengimarahkan masjid. Maka kerajaan tak perlu buat masjid, kalau rakyat mahukan masjid , mereka sendirilah yang perlu buat bukannya kerajaan, sambung sahabat saya lagi.

Saya termenung seketika bila mendengar persoalan ini kerana ada logiknya juga hujah yang dilontarkan itu. Tetapi bila teringatkan sirah Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Yathrib maka fikiran saya mula meragui ketepatan hujah tadi. Nabi SAW semasa peristiwa Hijrah, telah melakukan 3 perkara utama sebagaimana yang dinukilkan dalam banyak kitab Sirah iaitu, membina masjid, mempersaudarakan diantara Muhajirin dan Ansar, dan menyediakan perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah).

Jika masjid bukan perkara yang penting, sudah tentu Rasulullah SAW tidak membinanya apalagi pada saat kegawatan dikejar musuh, ketiadaan wang dan kekuatan. Maka jelaslah kepada kita bahawa masjid adalah sesuatu yang sangat signifikan dalam Islam sehinggakan Nabi SAW membinanya dengan tulang empat kerat baginda sendiri serta dibantu oleh para sahabat. Masjid menjadi pusat kegiatan umat Islam dizaman awal. Masjid menjadi tempat beribadat, bertemu, bersatu, bermesyuarat, berhukum dan segala macam hal ehwal umat Islam. Masjid adalah syiar agama.Justeru apa yang Nabi buat itu pasti ada hikmahnya dan perlu diikuti kerana baginda contoh ikutan. Perlu juga diingat, Nabi juga merangkap pemimpin kepada umat Islam seluruhnya.


Bila saya bertanya, kenapa disebut soal bina masjid ini, maka sahabat saya spontan menjawab bukan saya kata tapi Menteri Besar Kelantan yang kata. Oh, rupanya itu hujah MB Kelantan. Memang betullah hujah beliau itu kerana kerajaan Kelantan tidak membina masjid. Apa yang dilakukan ialah apabila menang pada tahun 1990 dahulu, kerajaan pimpinan PAS telah mengambil alih masjid yang banyak dibina oleh kerajaan terdahulu (BN), lalu ditukar cat daripada warna asal kepada hijau, ditukar karpet dari karpet asal kepada yang berwarna hijau, dan dilakukan accessment kepada semua imam agar selari dengan dasar kerajaan baru. Hal ini berlaku di seluruh Kelantan, cuma rakyat sedar atau tidak sahaja.

Sekolah saya, Maahad Muhammadi Lilbanin turut menjadi bukti. Pagar dicat warna hijau, tiang bendera hijau, bahkan rostrum perhimpunan pun berwarna hijau. Imej ini terpahat segar dalam memori yang saya rakamkan pada tahun-tahun awal 90an.

Kesimpulan yang boleh saya buat ialah, hujah masjid bukan beban kerajaan hanyalah hujah politik untuk mengalih beban yang perlu dipikul sahaja. Dengan kata lain, kerajaan Kelantan mahu lepas tangan dalam soal pembinaan masjid, bahkan bukan pembinaan masjid sahaja malah apa-apa pembangunan lain pun kerana sebetulnya kerajaan tidak mempunyai dana yang cukup untuk melakukan semua itu. Apabila diasak oleh UMNO dan didesak oleh rakyat supaya kerajaan negeri turut terlibat dalam membina masjid maka rakyat dipsycho dengan hujah ini bahawa rakyatlah yang perlu membina masjid jika mahu beribadat kerana bila kita terlibat membina tempat ibadat maka kita akan terasa bertanggungjawab untuk mengimarahkannya pula.

Sebagaimana kata Sayyidina Ali RA apabila ditanya tentang puak Khawarij apabila mereka berhujah dengan ayat 44 surah Al-Maidah, kata Ali: “Kalimah yang benar tetapi apa yang dimahukan oleh Khawarij itu batil (karut)”. Begitu jugalah hal PAS yang sentiasa mencari helah untuk menutup kelemahan sendiri agar rakyat tidak menyedarinya. Harus diingat, ini buka kali pertama dan kali terakhir penyalahgunaan agama dipraktikan oleh mereka, maka berwaspadalah kita. Jangan nanti duit poket mereka pun ditagih dari rakyat sudahlah, walaupun setiap malam duit dikutip dari rakyat dalam pelbagai bentuk nama; infaq, sedeqah, fi sabilillah dan lain-lain. Begitulah politik…Wallahu a’lam.

Wednesday, 26 May 2010

Ramai Keliru Isu Judi Bola Ini...

Alhamdulillah,demam selsema yang melanda diri 3,4 hari lalu telah pun kian reda. 2 hari lepas saya pergi mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Taman Gombak Permai, Gombak.Nampaknya ramai juga penduduk sekitar yang datang mendapatkan perkhidmatan klinik ini dan ternyata ianya memudahkan rakyat jelata sesuai dengan motto 'rakyat didahulukan'.

Pagi tadi sambil makan 'nasi berlauk' sempat berbual dengan tuan kedai yang menyatakan rasa tidak puas hati kerana kerajaan Malaysia meluluskan judi bola. Beliau bertanya apakah kerajaan kini menghalalkan judi? Jika tidak mengapa diberi lesen untuk menjalankan judi semasa world cup ini. Kata beliau, orang ramai rata-rata berpendapat kerajaan memang menghalalkan judi.

Kasihan saudara saya ini, rupanya beliau tidak mendapat gambaran sebenar berhubung isu ini. Rupa-rupanya beliau telah digambarkan bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan judi itu sesuatu yang halal. Maka saya mengatakan kepada beliau bahawa sesiapa sahaja orang Islam mengatakan judi itu halal maka dia kena semak balik ucapan syahadahnya kerana dikhuatiri terbatal akibat menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Terdiam beliau seketika, mungkin terkejut dengan respon segera saya itu.

Maka saya pun memaparkan situasi sebenar mengapa keputusan ini diambil oleh kerajaan sebagaimana posting saya semalam...

Tiba-tiba dengan spontan beliau pun menjawab, oh patut pun mereka beriya-iya benar buat demonstrasi, rupanya ada udang di sebalik batu! Terima kasih abang, kerana bagi kefahaman yang 'jilah' kepada saya.

Sebelum beredar, saya pesan kepada beliau; lain kali fahami sesuatu masalah dengan baik terlebih dahulu kemudian buatlah keputusan, baru betul namanya! Betul tak bos? Jawab beliau: SETUJU!

Judi Bola: Apa Isunya?

Bola sepak satu sukan yang sangat berpengaruh dan menjadi minat majoriti kaum lelaki malah mampu juga menarik hati golongan wanita. Sebut sahaja bola, pasti semua orang tahu.

Kini dalam masa tak beberapa minggu lagi demam Piala Dunia atau pun World Cup akan melanda seluruh dunia termasuk negara kita. Walau bagaimanapun satu isu yang barangkali lebih besar malah lebih hangat dan lebih serius daripada ‘World Cup’ ialah judi bola. Heboh satu Malaysia sekarang ialah reaksi orang ramai terhadap keputusan kerajaan memberi lesen kepada Berjaya Group untuk menganjurkan ‘judi bola’ pada musim World Cup yang akan datang.

Reaksi ini bermula apabila YB Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan membuat pengumuman berkaitan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan lesen kepada syarikat tertentu agar menguruskan ‘judi’ semasa Piala Dunia berlansung. Ini bertujuan untuk mengawal ‘judi haram’ berjalan secara tidak terkawal dan berleluasa disamping dapat dijadikan sumber kewangan Negara untuk disalurkan ke bidang sukan dan sebagainya. Melalui pengeluaran lessen ini, kerajaan akan mengenakan cukai pada kadar yang tertentu kepada syarikat pengendali terbabit agar wang tersebut dapat dimanfaatkan untuk rakyat secara amnya. Selain itu ianya juga bertujuan untuk membendung dan mengawal aktiviti pertaruhan haram, yang kini berleluasa. Beberapa garis panduan akan ditetapkan kepada syarikat berkenaan termasuk tidak membenarkan mengambil pekerja beragama Islam dan dilarang menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan Islam.

Namun tindakan ini telah mengundang reaksi yang negatif daripada banyak pihak terutama orang Islam. Antara yang paling awal membantah cadangan ini ialah PERKASA, sebuah NGO yang lantang berjuang untuk kepentingan Islam, orang Melayu dan masyarakat Bumiputera lainnya. Turut menentang ialah ABIM, PKPIM dan Mufti Perak. Tentangan juga kedengaran daripada parti politik. Paling menjadi juara dalam membuat respon ialah parti PAS melalui Dewan Pemuda PAS yang telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan penyerahan memorandum kepada pihak-pihak tertentu bermula Jumaat lepas di Kuala Lumpur. Terkini, sayap tersebut difahamkan akan mengadakan rally secara besar-besaran ke seluruh negara secara berterusan pada setiap Jumaat dan akan dimulai Jumaat depan di Masjid Kg. Perupuk Bachok, di kawasan YB Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Ketua UMNO Bahagian Bachok. PAS sebagai sebuah badan siasah seumpama mendapat ‘peluru baru’ dengan tercetusnya isu ini. ‘Judi bola’ dijadikan modal besar dalam kempennya untuk mengganyang dan melanyak parti pemerintah khususnya UMNO. Isu yang dimainkan ialah UMNO halalkan judi. Maka terpampanglah kain rentang di banyak tempat di seluruh Malaysia dalam sehari dua ini secara sinis menyindir dan membantah keputusan kerajaan membenarkan ‘judi bola’.

Saya suka untuk melihat isu ini dalam konteks yang sewajarnya agar ianya adil kepada semua pihak sama ada kerajaan atau pun rakyat awam. Perlu dibezakan diantara dua perkara asas ini iaitu hukum judi dalam Islam dan hukum pemerintah mengeluarkan lesen kepada orang bukan Islam untuk menjalankan perniagaan melibatkan judi.
Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa judi, walau dalam apa bentuk atau nama sekali pun adalah HARAM dalam Islam. Orang yang berjudi adalah berdosa besar kerana melanggar titah perintah Allah sebagaimana dalam Al-Quran yang menyebut tentang perkara ini: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, sembelihan untuk berhala dan tenung nasib itu kotor dari pekerjaan syaitan. Maka jauhilah supaya kamu mendapat kejayaan” (Al-Maidah: 90). Sekiranya orang Islam tetap berjudi juga setelah mengetahui hukum haramnya judi ini maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan berdosa. Dan sekiranya dia mengatakan bahawa judi itu TIDAK HARAM dalam Islam, atau dengan kata lain dia engkar dengan hukum HARAMnya judi maka ketika itu dia telah kufur dengan agama Allah, wal’iazubillah.

Namun dalam kes yang berlaku ini, saya percaya YB Datuk Awang tidak bermaksud menghalalkan judi atau mengingkari bahawa judi itu HARAM. Apa yang dinyatakan oleh beliau ialah kerajaan akan meluluskan lesen mengendalikan judi sempena World Cup ini dan bukannya kerajaan telah menghukumkan judi itu sesuatu yang HALAL. Lesen itu pula dikeluarkan kepada syarikat milik orang bukan Islam dan dilakukan dengan syarat-syarat yang ketat supaya orang Islam tidak terlibat dengan aktiviti judi ini. Hanya yang dibenarkan berjudi ialah orang bukan Islam sahaja bukannya semua orang.
Justeru, saya melihat bahawa pengeluaran lesen judi ini sama seperti pengeluaran lesen untuk perkara-perkara HARAM yang lain seperti babi, pembinaan berhala dan rumah ibadat orang bukan Islam dan arak. Jika lesen boleh dikeluarkan untuk mengilang, mengedar dan menjual arak, maka mengapa lesen untuk berjudi tidak boleh dikeluarkan oleh kerajaan padahal kedua-dua perkara ini sama hukum HARAMnya dalam Islam?Jika berhala sembahan orang bukan Islam dalam bentuk yang pelbagai, sampai lebih tinggi dari menara masjid pun telah tegak berdiri dengan rileksnya tanpa ada apa-apa halangan daripada kerajaan-kerajaan negeri berkenaan, maka mengapa tindakan melesenkan judi oleh kerajaan pusat menjadi halangan pula? Adakah bantahan ini bermotif politik atau benar-benar kerana agama?

Jika bantahan kerana agama, mengapa semasa orang sibuk membantah penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian tempoh hari telah tidak mendapat sambutan yang sebegini agresif daripada pihak PAS? Perlu diingatkan bahawa meluluskan lesen menternak babi, mengilang dan menjual arak serta membina berhala besar adalah bukan bermakna mengatakan babi, arak dan berhala adalah HALAL dalam Islam bahkan ianya tetap HARAM selama-lamanya. Apa yang dibuat oleh kerajaan hanyalah sebagai bertindak mengikut maslahat rakyat bukan Islam yang memerlukan perkara-perkara tersebut dalam kehidupan mereka. Oleh yang demikian, judi, arak babi dan segala macam benda haram itu adalah bagi orang bukan Islam dan bukannya untuk orang Islam. Sabda Rasulullah SAW: “yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas…”

Berfikir tentang ini maka saya berasa sedikit konfius, apa isu sebenarnya…