Friday, 7 January 2011

Di mana Jati Diri Kerajaan?

Saya hairan mengapa kerajaan kita dari sehari ke sehari dilihat sangat berlembut dengan pihak-pihak tertentu dan kadang-kadang keras kepada pihak-pihak yang lain pula. Lebih malang apabila rakyat khususnya orang Melayu, sebahagian besarnya melihat kerajaan seolah-olah merendah-rendahkan maruah orang Melayu sendiri. Beberapa kes berikut mungkin boleh memberi sedikit gambaran bagaimana persepsi ini terbentuk.

Kes pertama, pengetua sekolah masing-masing seorang di Kedah dan seorang di Johor dikenakan tindakan tatatertib kerana kononnya mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada beberapa orang murid sekolah mereka yang telah melakukan kesalahan disiplin. Kes ini disensasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dari kalangan pengamal politik dan media massa tertentu sehinggakan ia menjadi seolah-olah satu isu yang cukup besar dan mengancam perpaduan nasional.

Kes kedua, seorang pegawai kanan Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan juga telah diambil tindakan tatatertib oleh pihak kerajaan kerana beliau didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dalam sebuah program tertutup bersama Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan. Lucu sekali apabila wartawan dari sebuah akhbar Cina menyelinap masuk ke majlis tersebut dengan memakai selendang kepala dan tidak disedari oleh para peserta. Maklumat yang disampaikan dalam program tersebut telah disensasikan dalam terbitan akhbar terbabit sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan parti politik lebih-lebih lagi parti komponen BN yang mewakili orang-orang Cina.

Kes ketiga, seorang remaja Cina yang biasa dirujuk bernama Na Mee Wee- yang acap kali mencetus kontroversi melalui penghasilan filem pendek dalam Youtube seperti mengubah lagu Negaraku, memaki Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memaki seorang Pengetua di Johor dan Kementerian Pelajaran Malaysia – telah diberi layanan baik oleh salah seorang Menteri Kabinet di bangunan Parlimen. Beliau ke bangunan tersebut dengan pakaian biasa ‘ala rappers’ tanpa perlu berpakaian sopan mengikut protokol Parlimen sebagaimana perlu diikuti oleh rakyat biasa yang lainnya.

Kes keempat dan terkini ialah isu novel karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain berjudul Interlok. Novel yang dijadikan teks sastera SPM ini dikatakan telah menyentuh sensitiviti kaum India apabila memaparkan perihal kasta dalam masyarakat mereka. Para penentang novel ini – terdiri daripada gabungan NGO masyarakat India - berhujah bahawa ia telah ditulis dengan fakta yang tidak tepat dan menyinggung perasaan mereka. Lantaran itu mereka mengugut akan membakar novel tersebut sebagai simbolik rasa tidak puas hati terhadap pihak kerajaan yang menggunakannya sebagai buku teks sekolah. Natijahnya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran telah mengarahkan Kementerian Pelajaran menubuhkan jawatan kuasa untuk menangani isu tersebut agar ianya tidak merosakkan perpaduan masyarakat.

Merujuk kepada kes-kes yang dipaparkan di atas, kini mula tercetus cakap-cakap dalam kalangan orang awam khususnya orang Melayu bahawa kerajaan BN sedang menyusut nilai kepekaan terhadap sensitiviti dan perasaan bangsa Melayu.

Dalam kes yang pertama ramai berhujah mengatakan bahawa tidak adil pihak Pengetua dikenakan tindakan tatatertib hanya kerana tuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kerana sering kali orang bukan Melayu tersalah faham percakapan orang Melayu yang kaya dengan bunga bahasa, kiasan, madah, pantun dan perumpamaan. Apatah lagi jika yang membuat tuduhan itu merupakan mereka yang mempunyai masalah disiplin serta boleh dipertikai dari sudut moralnya.

Kes kedua pula memperlihatkan bahawa risiko menjadi pegawai kerajaan adalah amat tinggi. Lebih-lebih lagi sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyebarkan dasar-dasar kerajaan dan menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu akan hak dan tanggungjawab mereka. Jika dalam majlis yang tertutup untuk orang Melayu pun boleh disensasikan sehingga meletus isu besar, maka apa lagi jika hal-hal sejarah, peruntukan Perlembagaan dan kenegaraan ini dibincangkan secara terbuka tentu akan lebih menimbulkan masalah. Apakah perbuatan menyelinap masuk tanpa kebenaran itu sesuatu yang wajar?

Bagi kes Na Mee Wee, ramai melahirkan rasa marah terhadap respond kerajaan dalam menangani isu ini. Mereka berhujah, jika remaja Melayu berbuat kesalahan serupa sudah tentu kerajaan akan bertindak sama ada melalui penguatkuasaan akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) atau mana-mana akta lain yang bersesuaian. Tetapi dalam hal ini, nampaknya kerajaan seolah-olah segan untuk menguatkuasakan mana-mana akta pun tanpa rakyat mengetahui sebab-sebab keistimewaan remaja ini.

Kes ‘Interlok’ hanyalah merupakan siri-siri kecairan jati diri kerajaan BN terhadap tuntutan masyarakat bukan Melayu. Orang Melayu beranggapan bahawa jika tiada novel ini sekalipun hakikat kasta dalam masyarakat India beragama Hindu akan tetap diketahui umum kerana ia merupakan fakta yang tidak boleh disembunyikan. Buku-buku berkaitan agama Hindu dan masyarakat India yang ditulis oleh ramai pengkaji termasuklah Ninian Smart, Huston Smith dan Ahmad Syalabi tetap menyebut perkara ini bahkan banyak perkara lain yang lebih sensitif jika ingin diperincikan.

Memerhati beberapa perkembangan ini, saya secara peribadi berasa amat cemas jika trend ini berterusan kerana akhirnya orang Melayu akan hilang sabar mereka jika saban hari dihimpit kanan dan kiri. Orang Melayu sedar walau pun mereka berasal dari leluhur ini, walau pun mereka gah dengan ‘ketuanan’ Melayu, walau pun Islam diperakukan sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta beberapa perkara yang sering dianggap sebagai hak istimewa Melayu, namun pada hakikatnya ramai Melayu yang merempat di bumi sendiri. Melayu masih lemah dari segenap sudut. Bahasa Melayu belum benar-benar didaulatkan sebagaimana ‘gempak’ dalam perlembagaan. Orang Melayu ada sebahagiannya kurang gemar bercakap Melayu. Islam pula kadang-kadang hanya untuk kempen politik sahaja sedangkan banyak perkara yang dilaksanakan sehari-hari berlawanan dengan ajaran Islam. Ekonomi negara dikuasai oleh kaum bukan Melayu, ia realiti dan mudah nampak walau di mana kita berada di bumi Malaysia ini.

Jika Melayu hilang sabar maka yang akan rugi ialah kita sendiri juga. Kerajaan pusat yang selama ini diterajui oleh BN mungkin boleh tumbang jika trend penghakisan jati diri Melayu berlaku secara berterusan dari luar dan dalam. Justeru UMNO sebagai ‘the big brother’ dalam keluarga besar BN perlu memaksimakan peranannya agar ia kembali diyakini oleh orang Melayu. Parti-parti komponen yang lain juga mesti dimuhasabahkan agar menghayati prinsip perjuangan datuk nenek mereka semasa mula-mula mengadakan kerjasama dengan penduduk asal negara ini lebih 50 tahun yang lampau. Jangan pula kerana ingin menjadi hero kaum masing-masing maka prinsip asal yang menjadi kekuatan perhubungan kongsi kuasa BN akan terlerai begitu sahaja dan merugikan semua pihak.

Tindak tanduk BN sentiasa diperhatikan oleh musuh politik mereka siang dan malam. Walau pun kita yakin pakatan pembangkang masih terkial-kial mencari titik persefahaman sesama mereka, namun perlu juga berwaspada bahawa rakyat jika sudah bosan dengan sesuatu parti politik yang tidak memberikan apa-apa harapan, maka mereka sangat bersedia untuk menukar kerajaan!

Wednesday, 5 January 2011

Datuk Khusrin Munawi, SUK baharu negeri Selangor

Banyak laman blog sehari dua ini bercakap soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu, Datuk Khusrin Munawi. Pelantikan beliau agak kontroversi kerana mendapat bantahan pihak kerajaan negeri pimpinan pakatan PKR+DAP+PAS.

Walau bagaimanapun pelantikan tersebut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor. Isu ini semakin menarik apabila semalam, hampir semua akhbar memaparkan jawapan pihak Istana Selangor berhubung isu ini yang rata-rata melihat sebagai kenyataan balas terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor sebelum itu.

Dalam isu ini saya melihat ada 2 faktor utama mengapa Datuk Khusrin menjadi ‘masalah’ kepada kerajaan pakatan PKR+DAP+PAS Selangor. Pertama berkait dengan masalah pergelutan politik BN dan Pakatan PKR+DAP+PAS dan yang kedua ialah masalah perbezaan pentafsiran Islam dan sensitiviti masyarakat.

Berasaskan pemerhatian saya terhadap paparan laman blog, media massa, ceramah politik dan perbualan orang ramai khususnya yang pro-pakatan PKR+DAP +PAS, mereka melihat Datuk Khusrin sebagai pro-UMNO atau setidak-tidaknya bertindak atas kepentingan UMNO. Berpandukan kepada beberapa insiden yang melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta beberapa individu tertentu, Datuk Khusrin yang pada waktu itu merupakan Pengarah JAIS dilihat sangat bersemangat untuk menggunakan peruntukan undang-undang bagi menggagalkan usaha kerajaan negeri Selangor mendekatkan diri dengan rakyat terutama melalui platform masjid dan surau.

Dalam hal ini sebagai contoh, JAIS telah menarik balik tauliah mengajar di masjid bagi Ahli Parlimen Shah Alam yang mewakili PAS. JAIS juga telah menahan bekas Mufti Perlis yang membuat ucapan dalam sebuah rumah di Selangor yang mana pada waktu itu terdapat juga wakil rakyat kerajaan pakatan PKR+DAP+PAS Selangor serta pengikut-pengikut mereka. Lebih menarik apabila JAIS telah mengeluarkan arahan agar pihak pengurusan masjid dan surau tidak membenarkan mana-mana pihak terutama yang tiada tauliah untuk menyampaikan ceramah, tazkirah atau pun khutbah yang berunsurkan politik kepartian. Arahan ini menjadi lebih keras terutama semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor tempoh hari.

Ekoran daripada situasi ini, maka nama Datuk Khusrin menjadi semakin tidak popular dalam pentadbiran kerajaan Selangor. Namun, bagi beliau apa yang telah dilakukan hanyalah semata-mata atas dasar menjalankan tugas sebagai penjawat awam yang mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap majikan dan rakyat. Tindakan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam negeri Selangor serta melaksanakan titah Sultan sebagai Ketua agama Islam.

Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, tentu sekali Datuk Khusrin perlu berperanan sebagai pengawal kepada perkembangan Islam dalam masyarakat. Sebarang salah faham dalam beragama mesti beliau tangani dengan sebaik mungkin dan dengan kadar yang segera agar aqidah umat Islam sentiasa terpelihara. Adalah menjadi tanggungjawab beliau dan mana-mana penjawat awam sekali pun untuk mempertahankan dasar yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing supaya ia tidak dicabuli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apabila autoriti agama Islam menetapkan bahawa aqidah ahlu sunah wal jama’ah berasaskan ajaran Imam Abu Hassan Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi sahaja yang mesti menjadi ikutan rakyat negeri Selangor, maka keputusan tersebut mestilah dipatuhi dan rakyat hendaklah akur agar keharmonian dalam beragama dapat dikekalkan.
Jika ada pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab mahu menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan keputusan tersebut maka ia menjadi tanggungjawab JAIS untuk menanganinya melalui pendekatan yang difikirkan sesuai sama ada melalui perbincangan, muzakarah atau penguatkuasaan undang-undang.

Nampaknya dalam kes-kes di atas pihak JAIS tiada pilihan lain melainkan pendekatan penguatkuasaan undang-undang memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah berhubung dengan isu ‘tiada tauliah mengajar’. Saya fikir saya boleh bersetuju dengan pendekatan ini kerana ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Justeru saya menjangkakan pelantikan Datuk Khusrin sebagai SUK Selangor yang baharu bakal menimbulkan konflik yang berpanjangan di antara pembuat dasar dan pelaksana dasar kerana di peringkat permulaan ini pun kita sudah melihat bibit-bibit ‘masalah’ sudah pun berlaku. Nasihat saya kepada kerajaan Selangor; “please watch your back, Khusrin is coming”, dan kepada Datuk Khusrin; “mabruk ‘alaika, buktikan bahawa orang agama pun boleh memimpin SUK Selangor".

Tuesday, 28 December 2010

Sembang Kedai Kopi

Semasa minum pagi tadi saya ditanya oleh kawan apa posisi PAS dalam Pakatan Rakyat. Kalau dalam BN kita nampak jelas posisi UMNO duduk di mana. Sehingga beberapa minggu lepas ada parti komponen yang mengatakan UMNO sebagai ‘the big brother’ dalam BN.

Saya katakan kepada beliau “aku pun tak pasti, PAS memimpin ke PAS dipimpin?”. Yang kita selalu dengar, orang Pas kata Islam mesti memimpin, sebab itu kita lawan UMNO sebab UMNO tak laksana Islam dengan sepatutnya. Dalam BN yang diterajui UMNO, Islam dipimpin bukan Islam memimpin. Susah nak laksana syariah Islam dalam kerangka BN. Sebab tu kita join Pakatan Rakyat, kita percaya matlamat kita akan tercapai melalui kerangka ini. Itu kata-kata biasa yang selalu kita dengar dari pihak PAS.

Tetapi yang anehnya apa yang kita perhatikan adalah tidak begitu. Apa yang PAS idam-idamkan nampaknya tidak berlaku malah kadang-kadang jauh tersasar dari matlamat mereka. PAS kini telah meleburkan jati diri mereka dan berpolitik mengikut rentak demokrasi sekular barat. Ada yang mengatakan tujuan PAS berbuat begitu hanyalah menyesuaikan parti mereka dengan keadaan masyarakat Malaysia kontemporari. Bahkan ada yang berhujah tindakan itu adalah sangat Islamik kerana Islam itu bersifat anjal dan terbuka. Islam tidak rigid jauh sekali tertutup. Justeru PAS sebagai wadah politik berasaskan Islam maka wajar PAS mengambil pendirian demikian.

Sesungguhnya saya tidak bermasalah dengan hujah-hujah di atas. Tetapi masalah saya ialah kenapa kini PAS baru sedar tentang semua itu. Adakah keterbukaan dan keanjalan syariah hanya berlaku apabila Pakatan Rakyat dibentuk. Apakah ‘tahaluf siyasi’ hanya sah dan berlaku mutakhir ini sahaja. Apakah tahaluf siyasi antara UMNO-MCA-MIC sejak zaman berzaman tidak mengikut ‘siyasah syar’iyyah’?

Yang jelas ialah dalam BN terbukti UMNO yang memimpin manakala dalam Pakatan Rakyat PAS nampaknya dipimpin. Apa tidaknya, bila UMNO mengajak Pas berbincang soal kepentingan umat Melayu dan Islam, PAS merujuk masalah tersebut kepada PKR dan DAP untuk mendapat ‘green light’. Manakala UMNO tidak perlu merujuk pun kepada mana-mana parti komponen BN kerana masalah yang nak dibincangkan ialah masalah orang Melayu beragama Islam.

“Kalau dalam masalah umat sendiri pun PAS kena merujuk kepada DAP dan PKR, maka sudah pastilah PAS lebih-lebih lagi kena merujuk kepada mereka jika ia melibatkan masalah ekonomi, pelajaran dan lain-lain” kata saya kepada kawan tadi. “Jadi, bila masa Pas nak merujuk kepada Al-Quran dan Hadis jika sepanjang masa asyik duk refer DAP dan PKR ja…” sergah kawan saya.

Betul juga, bila nak guna Al-Quran dan Hadis ye kalau dan asyik kena refer Pakatan jer…yang ni saya tengah fikir.

Monday, 27 December 2010

Beza 1Malaysia dan One Israel

Untuk lebih memahami gagasan 1Malaysia serta bezanya dengan One Israel, jom kita baca artikel di bawah ini. Jom!

Beza 1Malaysia dan One Israel
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm (28.12.2010)

Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? Rencana ini cuba mengupas perbezaan kedua-dua gagasan terbabit dengan memberikan penekanan kepada aspek konsep bangsa. Konsep One Israel diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kaum Yahudi di bumi Palestin. Justeru, One Israel berkaitan dengan kesinambungan perjuangan Zionis yang terus menerus berusaha memperkukuh kedudukan mereka di bumi Palestin.

One Israel adalah gagasan yang bersifat rasis, egoistik, cauvinistik dan partikularistik. Ia mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestin. Gagasan tersebut dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Melaluinya, rejim Zionis Israel melaksanakan dasar pentadbiran yang mengutamakan kaum Yahudi di negara haram Israel itu.

Oleh itu, segala bentuk dasar pembangunan sosioekonomi adalah untuk kepentingan kaum Yahudi semata-mata, manakala rakyat Palestin terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka.

Pada hemat saya, tidak salah kita mengatakan bahawa One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme utama bangsa Yahudi yang menganggap kaum mereka sebagai 'Bangsa Pilihan Tuhan' (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor 'darah keturunan' sebagai faktor penentu Tuhan memilih mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Pilihan ini berasaskan kepada kasih sayang Tuhan 'Yahweh' kepada mereka.

Menurut mereka, keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa lain seperti gambaran yang diberi di dalam 'Perjanjian Lama' (Old Testament) yang menyebut:

"Engkau...wahai Israel adalah bangsa yang dikuduskan oleh Tuhanmu. Engkau telah dipilih oleh Tuhanmu agar engkau menjadi satu bangsa yang paling istimewa dan unik di sisi Tuhan engkau dari seluruh bangsa-bangsa lain yang menyebabkan Tuhan cinta kepada kamu dan memilih kamu tetapi pemilihan kamu adalah kerana kasih sayang Tuhan kepada kamu dan jagaan-Nya terhadap sumpah yang dibuat-Nya dengan bapa-bapa kamu, iaitu Tuhan telah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan menebus kamu daripada perhambaan Fir'aun Raja Mesir ( Deuteronomy V11:6-8).

Sebelum wujudnya apa yang dinamakan pergerakan Zionis secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali dan menjadikan bumi Palestin sebagai negara mereka. Di antara pergerakan awal itu adalah pergerakan Maccabean, pergerakan Barkohhba (117-136M), pergerakan Maosisi al-Kariti, pergerakan Dapd Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M) dan pergerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).

Akhirnya, pergerakan Zionis yang dipelopori oleh Theodor Herzl telah berjaya membawa impian mereka untuk kembali menguasai bumi Palestin. Sejak menguasai Palestin pada tahun 1948, pemimpin Yahudi yang silih berganti itu menjalankan dasar 'penghapusan kaum' terhadap bangsa Arab Palestin sehinggalah ke hari ini.

Dasar-dasar yang dilaksanakan di negara haram Israel itu semuanya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bangsa Yahudi. Dasar ini jugalah yang termuat di dalam gagasan One Israel. Jelas bahawa gagasan rasis Zions itu jauh berbeza konsepnya berbanding dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman sempit seperti mana yang dipamerkan oleh One Israel. Slogan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah bukti nyata gagasan ini tidak bersifat rasis. Seperti yang pernah dihuraikan oleh Najib di dalam Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia itu membawa maksud perpaduan dan kesepakatan, "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman, manakala "Pencapaian Diutamakan" membawa maksud kerajinan dan penghasilan.

Yang jelas kepada kita ialah, 1Malaysia menekankan konsep 'rakyat', bukannya konsep kaum atau bangsa-bangsa tertentu. 'Rakyat' bermaksud 'warganegara' yang mana kerakyatannya sah di sisi undang-undang negara. Justeru, apa juga dasar pembangunan sosioekonomi di bawah gagasan 1Malaysia adalah untuk disertai dan nikmati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum supaya matlamat untuk mencapai perpaduan kebangsaan menjadi kenyataan.

Bukannya mudah untuk memuaskan hati semua kaum kerana apabila sesuatu dasar itu disalah tanggap atau dipolitikkan, maka akan berlaku tuntutan-tuntutan ekstrem daripada kaum-kaum tertentu yang boleh menjejaskan hubungan dan keharmonian kaum di negara ini. Justeru, pernah di dalam satu majlis bersama media, Najib berkata kepada para wartawan: "Saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tetapi soal tanggungjawab dan harapan yang diberi oleh rakyat amat besar".

Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia jauh berbeza dengan gagasan One Israel. Perbezaannya 'umpama langit dengan bumi'. One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme bangsa Yahudi yang mempercayai bangsa mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Ia adalah gagasan yang mengamalkan fahaman kuno yang mendukung konsep 'super race'.

Sebaliknya, gagasan 1Malaysia mendukung konsep 'rakyat' (warganegara). Ini bermakna 1Malaysia memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Tegasnya, 1Malaysia adalah gagasan yang mendukung konsep kesatuan rakyat. Kita meraikan 'kepelbagaian' (kemajmukan kaum) dan mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah).

Menurut Dr. Hassan Ahmad (2010), kesatuan rakyat yang diasaskan kepada kesatuan sosiopolitik-legalistik adalah landasan penting untuk mencapai perpaduan kebangsaan. Negara akan hancur seandainya setiap kaum cuba membentuk 'perkampungan' sendiri, sistem sosial, sistem ekonomi, sistem pendidikan dan sistem politik sendiri yang terpisah daripada dasar, institusi, dan sistem kebangsaan negara.

Syukur...

Semalam isteri saya terlanggar besi pengadang tempat letak kereta. Habis kemik bumper depan kereta beliau. Terus dia telefon saya bagi tahu kejadian tersebut untuk dapatkan nasihat dan apa yang perlu dilakukan memandangkan saya berada di pejabat.

Seperti biasa saya akan menyuruhnya bertenang dan ikut nasihat saya satu persatu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kereta telah dibawa ke bengkel untuk diperbaiki. Temu janji dibuat pada Jumaat ini.

Inilah yang dikatakan ‘takdir’, kalau nak berlaku ia akan berlaku juga. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Isteri saya kata “orang dah bawa kereta habis elok, perlahan, tapi entahlah macam mana boleh terlanggar juga”. Saya katakan padanya “nak buat macam mana dah nak jadi, jadi juga”.

Apa pun saya bersyukur kerana kereta hanya rosak sedikit sahaja dan yang paling penting isteri saya selamat serta boleh terus menerus memasak untuk kami sekeluarga, Alhamdulillah.

Tuesday, 30 November 2010

Antara Persoalan yang benar-benar perlu dibahaskan...

Membaca tulisan Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia hari ini mengenai persoalan jika bloggers pro-kerajaan beralih arah, mengingatkan saya kisah 10 tahun lampau semasa aktif dalam politik kampus.

Persoalan yang sama juga bermain dalam benak saya tetapi berkait dengan mahasisawa.Apa jadi jika mahasiswa yang pro-aspirasi kerajaan terpaksa beralih arah kerana keadaan yang mendesak. Bayangkan jika mereka apabila tamat belajar, tiada peluang pekerjaan sedangkan rakan-rakan mereka yang pro-pembangkang begitu senang mendapat tempat dalam kerajaan bahkan berpeluang menjadi pegawai tadbir dan diplomatik yang bukan sahaja 'berkuasa' dalam negara tetapi juga menjangkau ke luar negara.

Mahasiswa pro-kerajaan tentu akan berasa terkilan padahal mereka juga mempunyai kelayakan yang setanding kalau pun tidak serupa. Perasaan terkilan inilah yang payah untuk kita ubati, dan lama kelaman ianya akan menjadi virus yang boleh mengancam sokongan mereka, keluarga dan masyarakat terhadap kerajaan. Lebih-lebih lagi jika mereka ini didampingi oleh pembangkang melalui keluraga, kenalan rapat atau institusi tertentu, maka tentu sekali natijahnya akan turut berimpak tinggi.

Bacalah komen Zaini di bawah:

Jika bloggers mesra–kerajaan beralih kiblat?

Oleh Zaini Hassan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

MALAM Rabu minggu lalu saya berpeluang menemui para blogger mesra-kerajaan yang hebat-hebat dalam satu forum di Petaling Jaya. Mereka merupakan blogger yang berhempas-pulas siang dan malam menyajikan pelbagai maklumat bagi membantu kerajaan, UMNO, BN dan orang Melayu.

Bahan-bahan dalam blog mereka cukup kuat. Siap dengan gambar, grafik dan fakta-fakta yang cukup mengkagumkan, yang media arus perdana – akhbar-akhbar, radio dan televisyen – gagal melakukannya (lagi).

Sebagai wartawan akhbar yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan konvensional melebihi 20 tahun, saya melihat revolusi para blogger pasca reformasi 1997/98 ini berupaya memporak-perandakan subjek mereka. Dalam dunia propaganda dan perang psikologi media di Malaysia, mereka ini cukup bernilai.

Bagi saya, yang menjadi ahli panel forum malam itu, mereka sebenarnya ialah penggerak utama (the prime-movers) dalam peperangan siber di negara ini. Diakui pada sebelum, ketika dan selepas reformasi itu dulu, kemunculan mereka ini cukup memudaratkan kerajaan memerintah.

‘‘Saya sebagai penggerak laman web Mahazalim serta Mahafiraun ketika itu berjaya memporak-perandakan pemikiran rakyat terhadap Mahathir,” kata Anuar Md. Nor, blogger yang kini menggerakkan blog UMNO Reform atau pembaharuan UMNO yang mesra-kerajaan.
Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui kekuatan media baru itu. Pemikiran rakyat ketika itu -- sama ada faktanya sahih atau tidak – telah dibentuk oleh media tersebut.

Persepsi rakyat terhadap kerajaan, para pemimpin parti, UMNO dan BN ketika itu, dicorak oleh mereka. Bagi yang tidak boleh mencapai siber, bahan-bahan daripadanya dicetak dan diedarkan ke seluruh pelosok bandar dan kampung.

Revolusi wartawan siber ini telah diwujudkan dengan begitu cepat dan amat menarik sekali. Mereka berupaya merunsingkan semua pihak.

Namun sebagai pemimpin bijak, Dr. Mahathir ketika itu tidak kalut. Malah beliau mewujudkan koridor raya multimedia bagi memberi ruang yang lebih luas bagi medium baru ini berkembang.

Hari ini peranan blog kewartawanan baru itu menjadi satu fenomena. Ia amat penting dalam perang propaganda politik dan sosial di negara ini. Dr. Mahathir sendiri melalui chedet.com berkecimpung menulis melalui laman siber itu. Blognya adalah blog paling popular di negara ini.

Tapi siapa prime-movers yang dimaksudkan itu? Mereka boleh ditentukan dalam beberapa kategori. Jika diikut format blog Rocky‘s Bru (yang dianggap oleh para bloggers mesra-kerajaan sebagai penghulu mereka), ia terbahagi kepada yang utama; Journo-Bloggers, Socio-Political (So-Po), So-Po Anonymous (penulisnya tidak dikenali), Politicians (Ahli-ahli Politik), Blog Gambar dan lain-lain.

Journo-Bloggers sendiri terdiri daripada wartawan dan bekas wartawan media konvensional yang menulis blog di atas kapasiti peribadi. So-Po pula terdiri daripada pelbagai pihak termasuk para profesional dan bergerak aktif meluahkan perasaan dan mendedahkan fakta-fakta yang cukup mengancam. Antaranya Zakhir Mohd atau Big Dog melalui blognya Thirteen Million Plus Ringgit, Syed Azidi AlBukhary melalui blognya yang cukup anti pemerintah dulu, Sheih Kickdefella.

Begitu juga dengan Syed Akbar Ali melalui blog OutSyed The Box – yang analisis terbarunya cukup analitikal dan tidak termampu ditulis oleh wartawan akhbar arus perdana (sekarang).

Beliau menggarap corak pemilihan DAP secara cukup menarik. Bagaimana Teresa Kok dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor – walaupun corot di tempat kelima ke bawah. Sayang sekali tulisan seperti itu tidak dapat dilakukan oleh wartawan akhbar dengan cepat. Syed Akbar – seorang bekas ahli bank, lulusan luar negara dan kini berniaga kedai emas – berjaya membuat analisis mengalahkan wartawan Utusan Malaysia sendiri!
So-Po Anonymous (yang tidak berselindung lagi dan mulai dikenali) seperti Parpu Kari melalui House PK merupakan blogger terhebat memainkan peranan mempertahankan kerajaan semasa daripada pihak pembangkang. Parpu Kari kini berada di tempat ke-3 paling popular mengikut ranking Alexa untuk blog dan portal politik sehingga 28 November ini.

Begitu juga Ruang Bicara Faisal atau rbf online (ranking ke-10), cukup berbisa dengan berita dan analisis sempoi warna-warni politik semasa.
The Unspinners (ke-6), yang kononnya merupakan sekumpulan bloggers yang tidak dikenali juga memainkan peranannya yang tersendiri. Juga Jebat Must Die yang baru-baru ini menggarap secara bersiri dengan begitu detail dan akademik peristiwa di sebalik Tragedi 13 Mei.

Tabik juga kepada Husin Lempoyang, seorang blogger yang cukup kritis pemikirannya. Juga blogger Apanama serta Lydia USM (Lawyer Garang) yang cukup garang dengan coretannya.

Blog GAP atau Gerakan Anti-PKR yang diasaskan oleh seorang bekas hardcore ahli PKR yang taksub kepada Anwar Ibrahim dan kini berpatah arang 360 darjah. Ia kini berkedudukan ranking ke-5 paling popular.
Tidak ketinggalan blogger foto Minaq Jinggo yang berjaya merakamkan gambar bersejarah Nik Aziz membahagi-bahagikan wang kepada pengundi di Galas. Gambarnya dipetik oleh Utusan Malaysia dan menjadi panas selama kempen itu berlangsung. Pas akhirnya kalah di situ.

Itu hanyalah sekadar yang tersebut. Banyaklah lagi yang tidak tersebut. Banyak yang akan berkecil hati kerana nama-nama blog mereka tidak tersebut. Yang nyata mereka ini terlalu hebat. Bahan-bahan berserta analisis mereka cukup membantu kerajaan daripada tekanan dan serangan pihak pembangkang, yang juga mempunyai jentera siber yang cukup konsisten, terancang dan sistematik.

Dalam forum itu saya membangkitkan satu persoalan: ‘‘Bayangkan sekiranya anda semua yang berada dalam dewan ini swing atau berpatah balik ke sebelah sana (pembangkang), apa akan jadi kepada kerajaan, UMNO, BN, PM...?”

Apa akan jadi jika Anuar, Parpu Kari, GAP, RBF, Kickdefella atau Syed Akbar, Big Dog (yang terlalu kuat UMNOnya) berpatah mengasak kerajaan...???

Semua dalam dewan itu terdiam. Penganjurnya dari pihak kerajaan juga turut terdiam. Para bloggers sebenarnya amat pasrah. Mereka yang saya panggil sebagai penggerak utama propaganda itu sebenarnya amat berkecil hati. Mereka mengadu tiada siapa yang mengambil berat terhadap mereka. Tiada siapa yang mengkoordinasi mereka.
Semasa berdialog mereka merungut. Mereka memberontak. Ada yang diam kerana memikirkan perjuangan menentang sebelah sana amat mustahak sekali. Tapi sampai bila mereka boleh bertahan?

Peranan mereka dipandang sepikah? Bukan semua mereka bekerja tetap, profesional atau berniaga emas seperti Syed Akbar. Yang gagal bertahan akan tutup kedai.
Blog AIDC yang hebat menghentam pembangkang hampir-hampir mati (sudah mati pun) kerana tiada bantuan. Kos untuk mengekalkan jentera pelayarnya sahaja sekitar RM26,000 sebulan. Siapakah yang menjaga mereka?

Apakah pihak-pihak tertentu sedar perkara ini?

Bukan tujuan saya untuk mendapatkan atau mencari jawapannya. Kita sedar pihak tertinggi ada bertemu mereka. Tapi mana susulan (follow-up)? Mereka juga manusia yang mempunyai perasaan dan perlu makan. Cuba bayangkan jika esok mereka beralih kiblat?

Sunday, 28 November 2010

Muhasabah Diri dan Ummah...

Keliru. Masalah ini biasa berlaku dalam diri kita. Banyak faktor dan sebab mengapa "keliru" berlaku dalam diri kita. Setiap individu barangkali mempunyai sebab yang tidak sama untuk sama-sama menjadi keliru.

Antara sebab-sebab yang biasa dikaitkan dengan masalah keliru ialah seperti kurang ilmu pengetahuan, emosi yang tidak normal, fikiran yang terganggu dan suasana persekitaran yang berubah-ubah dan pelbagai faktor lain lagi.

Keliru boleh menyebabkan natijah yang tidak baik terhadap kehidupan manusia sama ada pada peringkat individu, keluarga, masyarakat mahu pun negara. Jarang sekali berlaku, keliru membawa manafaat besar kepada manusia. Biasa yang berlaku, seseorang yang keliru boleh terdedah kepada bahaya sama ada kecil atau pun besar. Justeru sama-samalah kita berwaspada dan berdoa agar kita dijauhi dari terkeliru.

Artikel di bawah sebagai salah satu tatapan untuk tidak terkeliru. Selamat membaca.

Pas keliru dan makin lesu

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

''Kita tidak perlu apologetik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang kita dokong seperti pelaksanaan syariah dan seumpamanya.

''Saya tidak bersetuju membawa Pas baru dengan menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita-cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi.''

Demikian dua ungkapan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam blognya pada minggu lalu.

Di atas kertas ia sememangnya indah, menarik dan penuh penegasan tetapi apa yang menjadi persoalan mampukah kepimpinan Pas termasuk Nasrudin merealisasikannya dalam bentuk realiti.

Ia kerana semua orang tahu, Pas kini bukanlah sebuah parti yang bebas, tidak lagi berdiri atas kaki sendiri bagi mencari kuasa politik atau mempunyai pendirian yang teguh terhadap perjuangan Islamnya.

Pas sudah dilihat sebagai sebuah parti yang semakin jauh ketinggalan dari segi pengaruh, apatah lagi mahu menjadi parti alternatif kepada UMNO dalam membela nasib Melayu dan umat Islam.

Perjuangan Islam yang sebelum ini begitu diuar-uarkan sejak penubuhan parti itu pada 1951, kini boleh dianggap hanyalah retorik.

Segalanya kerana kegelojohan dan keghairahan Pas untuk menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, dua parti yang cukup alergi dalam menyentuh soal Melayu dan perjuangan Islam.

Tetapi Pas tetap mahu bertahan di dalam apa yang mereka panggil 'Pakatan Rakyat'. Akibat dipengaruhi dengan permainan lidah politik PKR dan DAP, kepimpinan Pas seolah-olah sanggup mengorbankan prinsip perjuangan demi meraih kuasa.

Atas sebab itulah, ketika diminta mengulas perkara ini, seorang penganalisis politik terkenal dari utara tanah air menggariskan tujuh 'harga' yang perlu dibayar oleh Pas apabila bersama DAP dan PKR.

Tujuh perkara itu ialah leburnya agenda negara Islam, agenda hudud dan kanun jenayah syariah berkecai, perjuangan mendaulatkan Islam dan saki baki agenda Melayu (kalau masih ada) hancur berkecai, tergadainya maruah Pas sebagai parti pembela Islam dan terpaksa menerima pemimpin Islam liberal sebagai ketua yang lebih tinggi daripada Mursyidul Am dan Presiden Pas sendiri.

Selain itu, Pas terpaksa akur dengan pemimpin DAP yang tidak pernah bersimpati, malah menolak agenda perjuangan Islam Pas dan terpaksa menipu penyokong setia Pas kononnya agenda Islam masih wujud dalam pakatan pembangkang.

Sememangnya hujah ahli akademik ini perlu diakui oleh Pas yang selama ini sudah dilihat mengorbankan agenda, falsafah dan prinsip perjuangan apabila bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP.

''Sedangkan DAP dan PKR mengaut semaksimum keuntungan dan faedah daripada kepandiran pemimpin-pemimpin muda dalam Pas yang salah memberikan nasihat kepada ulama parti itu,'' kata penganalisis berkenaan.

Lanjutan itu, Pas dilihat terlalu lemah termasuklah untuk menegur segala kepincangan yang dilakukan oleh PKR dan DAP yang memiliki kuasa memerintah di Selangor dan Pulau Pinang.

Walaupun Pas dikatakan mempunyai saham cukup besar bagi memastikan panji-panji pakatan pembangkang tegak di negeri itu tetapi apabila kemenangan sudah ada di tangan, segala jasa Pas dipinggirkan.

Pas kini ibarat melukut di tepi gantang, menadah memohon bantuan PKR dan DAP demi meraih undi serta menghulurkan tangan meminta dipimpin oleh kedua-dua parti berkenaan bagi mendapat kuasa.

Persoalannya, wajarkah pemimpin-pemimpin Pas membiarkan parti itu terus diperkotak-katikkan yang akhirnya akan menyebabkan mereka dilihat tidak mempunyai pendirian yang tegas dalam memperjuangkan apa yang mereka perkatakan?

Sememangnya Pas 'terlalu baik' seolah-olah bersedia mengangguk sahaja terhadap apa juga tindakan dan arahan PKR dan DAP. Martabat Pas sebagai sebuah parti Islam semakin tidak dipedulikan.

Tetapi apakah Pas insaf dan adakah penegasan Nasrudin itu akan diterima dengan terbuka oleh pemimpin-pemimpin utama Pas? Adalah sesuatu yang malang kerana dalam kalangan mereka sendiri tidak mahu campur tangan dalam kemelut PKR yang didakwa berlaku kegiatan bertentangan dengan prinsip demokrasi dan Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Apakah kerana PKR adalah kawan sekutu maka segala kemungkaran tidak harus ditegur kerana bimbang akan menjejaskan kesepakatan bersama bagi meraih kuasa dan mencapai cita-cita ke Putrajaya?

Penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Pas mengambil pendirian untuk berdiam diri terhadap kemelut yang melanda PKR atas alasan cukup skeptikal yakni tidak mahu mencampuri urusan dalaman PKR.

''Ia betul jika Pas dan PKR tidak berada di bawah satu payung, tetapi soalnya mereka telah membuat deklarasi bahawa mereka berada di bawah satu payung iaitu Pakatan Rakyat.

''Justeru, sememangnya Pas harus memainkan peranan aktif untuk menyedarkan pimpinan PKR bahawa kemelut yang dihadapi mereka sebenarnya turut sama memalitkan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang,'' katanya.

Beliau berpendapat, golongan pengundi atas pagar pasti akan berfikir panjang selepas ini keupayaan pakatan pembangkang memimpin negara jika diberi peluang.

Soalnya, beranikah Pas menegur PKR? Di Selangor pun, walaupun Pas berada di dalam kerajaan negeri tetapi parti itu tidak boleh berbuat apa-apa.

Malah ada kalangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang begitu taksub dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

''Kepimpinan PKR tidak menganggap aura pimpinan Pas adalah setanding untuk diminta bantuan menyelesaikan konflik. Semua pihak tahu perkara tersebut kerana sudah banyak kali pimpinan PKR sendiri memperlekehkan pimpinan Pas. Jadi dalam hal ini, ada betulnya juga Pas hanya menjadi pemerhati yang setia,'' katanya.

Berdasarkan hujah itu, jelaslah untuk melihat Pas menegur PKR atau DAP ia sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin berlaku.

Namun begitu, kepimpinan Pas perlu sedar gejolak di peringkat akar umbi, bukan semua ahli parti merestui apa yang mereka lakukan dalam hubungan dengan PKR dan DAP.

Sudah ada tafsiran bahawa dalam usaha mengejar kuasa politik bersama kedua-dua parti berkenaan, Pas dilihat semakin keliru dalam menyatakan pendirian, celaru mencari hala tuju dan lesu untuk bertindak.

Akhirnya yang untung ialah PKR dan DAP kerana berjaya memperdayakan Pas untuk masuk ke dalam putaran politik mereka bagi membolehkan mereka meraih banyak kerusi, sedangkan Pas akan terus menjadi 'pak turut' sahaja.