Wednesday, 18 April 2012

Mahasiswa terus dijajah...



Demo bantah PTPTN oleh geng mahasiswa kaki demo sudah beberapa hari berlangsung di Dataran Merdeka KL. Nampaknya 'demo' ini dapat sambutan pimpinan pembangkang termasuk wakil rakyat Keadilan Kelantan pun turut bergambar sakan tepi khemah.

Beginilah, saya dulu pun mahasiswa jugak tetapi dapat pinjaman JPA. Lepas grad, Alhamdulillah cuma kena bayar balik 25% daripada jumlah pinjaman kerana menepati syarat-sayarat yang telah ditetapkan oleh JPA. Mahasiswa sekarang pun, kalau nak dapat diskaun atau convert loan jadi biasiswa pun boleh. Cuma kena cukup syarat yang diperlukan oleh pihak PTPTN.

Apa yang penting peluang untuk belajar tersedia. Tabung kewangan juga tersedia walaupun dalam bentuk pinjaman. Tinggal lagi kesungguhan para mahasiswa untuk mengubah nasib diri sama ada mahu bayar pinjaman secara keseluruhan atau mahu ubah jadi biasiswa. Hal ini sangat simple untuk difahami dan Abe Mat yakin adik-adik tahu hakikat ini..tak payah dengar hasutan pembangkang tu, belajar je pandai-pandai sampai dapat Dean List, habis cerita!

Tuesday, 24 January 2012

Kelantanku...


Datuk Seri Najib, Perdana Menteri semalam makan kenduri di rumah Datuk Fatmi Salleh, Ketua UMNO bahagian Kota Baharu merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri. Orang ramai sungguh, lauk pauk pun sedap.

Tetapi sebelum itu di lapangan terbang Sultan Ismail Pengkalan Chepa telah berlangsung majlis perasmian van Skuad Sayang Wanita UMNO Kelantan. Ada 15 buah semuanya. Difahamkan setiap bahagian UMNO dapat satu van manakala satu yang baki untuk kegunaan Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Ini satu lagi khidmat UMNO untuk bantu rakyat, SYABAS.

Gendang perang sudah dipalu. Spekulasi pilihan raya sudah pun kuat dimainkan oleh banyak pihak. Soalnya sekarang apakah nasib negeri dan rakyat Kelantan kali ini. Adakah remain the same, kekal status quo atau bakal berlaku perubahan?

Dalam firasat Abe Mat…yes akan berlaku perubahan kali ini. Cumanya buat masa ini belum pasti lagi perubahan kecil atau besar. Masa masih ada dan tidak terlambat untuk merubah keadaan. Kita tengoklah macam mana nanti?..

Thursday, 15 December 2011

Tok Guru Hj. Lah Pondok Geting - Perjuangkan Perpaduan Umat Islam


Abe Mat berasa terharu dapat berbual dengan Tok guru Hj. Abdullah Saamah, atau lebih dikenali sebagai Ayah Lah Pondok Geting, Tumpat. Beliau sedih memikir nasib umat yang terlalu mementingkan politik kepartian sehingga cedera akidah dan cedera perpaduan umat Islam.

Beliau menegur perkembangan tidak sihat ini dan akibatnya beliau serta murid-murid Pondoknya di pulau oleh pihak yang tidak sebelu dengan mereka. Lebih menyedihkan apabila menantu beliau yang tiada kena mengena dengan pendirian beliau turut menjadi mangsa. sebahagian daripada pengikut beliau yang pernah menerima dividen Ladang Rakyat juga telah diberi kata dua oleh pihak berkenaan sama ada mahu mengikut Ayah Lah atau mahu terus menerima dividen. Jika mengikut Ayah Lah, maka dividen tidak lagi akan diterima. Penat juga macam ni, walau pun RM200.00 sebulan tapi ianya agak besar bagi golongan yang tidak mampu.

Anak-anak murid beliau pula kini telah kurang menerima undangan daripada masyarakat sekitar untuk bersama-sama dalam majlis keagamaan seperti Saolat Hajat, Solat Jenazah dan lain-lain.

Tetapi Ayah Lah bersyukur kerana dalam saat getir menempuh cabaran dan dugaan, ada pihak-pihak yang bersimpati dan prihatin akan nasib mereka. Esok suasana Pondok An-Najmiah Insya Allah akan berubah apabila beberapa agensi kerajaan turun padang membela nasib rakyat sesuai dengan Gagasan Perdana Menteri 1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Esok Jabatan Penerangan Kelantan serta agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Tentera, Jabatan Kesihatan, Universiti Malaysia Kelantan dan beberapa NGO tempatan berganding bahu bergotong-royong membaik pulih infrastruktur Pondok dan kawasan sekitar. Khabarnya YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan sendiri yang memulakan inisiatif ini dengan menghulur sumbangan kepada pihak Pondok tersebut. Syabas Pak Menteri! Inilah contoh pemimpin dahulukan rakyat.

Kepada Ayah Lah dan anak-anak Pondok, mudah-mudahan bantuan ini akan menyuntik semangat anda semua untuk terus berjuang memartabatkan Islam di bumi Kelantan.

Wednesday, 23 November 2011

Negeriku dilanda Bah…


Abe Mat berasa hairan, macam mana kawasan Mulong, Tiong boleh dilanda banjir sehingga penduduk terpaksa berpindah? Rasanya dulu-dulu tak pernah banjir kawasan ini.

Mungkin sebab longkang tersumbat atau mungkin sebab kawasan tadahan air di padang Tunjong telah ditimbus tanah dan pasir kerana nak buat projek Bandar baru. Hujan memang biasa turun bulan November dan Disember sebab ini musim tengkujuh.

Simpang masuk ke Majlis Daerah Ketereh pun banjir juga. Kesian pekerja Pejabat Pos dekat Markaz PAS Ketereh, terpaksa selak kain, lipat seluar kerana air sudah naik.

Alhamdulillah, mujur ada banyak jalan alternatif di Ketereh ini. Kalau tidak, tersangkut lamalah pengguna jalan raya musim ini..Biasalah, jalan atas tali air tetapi ditar elok. Projek wakil rakyat BN kawasan ini lah kata Cikgu Pakda pagi kelmarin…ok lah kalau macam tu.Ada harapan menang lagi musim depan, Insya Allah.

Sunday, 2 October 2011

Undilah...

Dalam banyak-banyak isu, isu video klip ‘Undilah’ mungkin menarik untuk Abe Mat ulas kali ini. Apa tidaknya kerana hampir semua tokoh yang mewakili parti-parti politik berpengaruh dalam tanah air, artis, jaguh sukan, personality tv dan lain-lain telah bergabung tenaga ‘berlakon’ untuk menjayakan video klip tersebut. Syabas Pete Teoh and the gang, anda berjaya nampaknya!

Namun, akhirnya video klip tersebut menjadi kontroversi. Biasalah, bila sebahagian individu dalamnya ‘public figure’ atas sebab-sebab tertentu maka begitulah jadinya. Memang sekali imbas video tersebut menyeru orang ramai berdaftar sebagai pemilih dan seterusnya keluar mengundi tetapi yang kurang enaknya apabila mengaitkan negara Malaysia sebagai banyak masalah dan terus menyeru rakyat keluar mengundi tanpa menyatakan usaha telah banyak dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesai masalah-masalah tersebut secara serius.

Jika kita perhatikan secara mendalam, video tersebut sebenarnya mengajak rakyat untuk mengundi kerajaan baru kerana kerajaan sekarang banyak masalah. Itu nujuman Abe Mat, mungkin tidak tepat tetapi asasnya ada. Bermula dari dialog, seni kata dan visual semuanya secara tersurat membawa mesej yang tersirat. Jadi, memang patutlah SKMM tidak membenarkan ianya ditayang dalam stesen TV tempatan kerana boleh membawa mudarat kepada pihak kerajaan. Abe Mat fikir tindakan Kementerian Datuk Seri Rais Yatim adalah betul dalam menangani klip video ini...

Wednesday, 13 April 2011

PEMUDA MAJLIS GEREJA MALAYSIA CCM ANTI PERPADUAN

PENGENALAN
Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM) menolak 'formula 10 perkara' yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala untuk menyelesaikan kemelut kitab Injil bahasa Melayu.

Dalam satu kenyataan, badan itu menegaskan formula berkenaan, cuma penyelesaian 'tergesa-gesa' dan tidak menyelesaikan diskriminasi kerajaan persekutuan terhadap penganut Kristian negara ini.

Manakala dalam kempen pilihan raya di Sarawak, parti pembangkang menggunakan isu ini sebagai modal politik mereka dengan memperkenalkan slogan “Vote for BN = vote for anti-Christ”. Ini bertujuan untuk meraih sentiment penganut Kristian agar menolak BN dan meyokong pembangkang.

ULASAN:

Isu yang dibangkitkan oleh Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan parti pembangkang ini sebenarnya tiada kaitan dengan diskriminasi kerajaan terhadap penganut Kristian di Malaysia. Kerajaan pada hakikatnya tidak pernah menindas, mendiskriminasi atau menganiaya mana-mana pihak sama ada dia penganut mana-mana agama atau tidak menganut agama sekalipun.

Hak setiap rakyat Malaysia sentiasa dijaga oleh kerajaan selaras dengan peruntukan masing-masing yang telah pun tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini semua hanyalah manipulasi pembangkang terhadap keputusan kerajaan dalam mempertahankan keluhuran perlembagaan semata-mata dan dijadikan bahan kempen untuk menghasut rakyat membenci kerajaan dengan menggunakan sentiment agama sebagai elemen perang saraf mereka yang semakin tersasar daripada etika dan moral.

Sekiranya rakyat Malaysia menggunakan kewarasan dan rasional akal masing-masing, maka akan terlihatlah oleh mereka bahawa sebenarnya amalan toleransi kerajaan terhadap penganut agama di negara ini sangat tinggi. Ini kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tetapi agama lain juga boleh diamalkan di negara ini sebagaimana petikan berikut;

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Dengan kata lain, ini memberi erti bahawa agama lain selain Islam boleh diamalkan jika sekiranya tidak menimbulkan suasana kelam kabut dan huru-hara dalam negara tetapi jika ianya tidak mencapai matlamat aman dan damai seperti peruntukan Perkara 3 (1), maka kerajaan bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan tersebut sebagaimana peruntukan Fasal 4 yang berkait dengan pengembangan agama lain dalam kalangan umat Islam serta menjaga ketenteraman awam.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, kerajaan bertanggungjawab menjaga akidah umat Islam daripada dirosakkan oleh dakyah dan propaganda halus agama lain yang ingin memancing umat Islam agar meninggalkan ajaran Islam dan menganut agama mereka.

Hak untuk mengamalkan agama masing-masing telah termaktub kemas dalam peruntukan perlembagaan sebagaimana berikut:

Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Isu Injil bahasa Melayu atau Al-Kitab sepatunya telah pun selesai apabila kerajaan membenarkan pengedaran kitab tersebut di Malaysia dengan mengikut beberapa peraturan yang telah ditetapkan supaya hak semua rakyat terpelihara serta ketenteraman awam terjaga.

Atas keprihatinan kerajaan terhadap isu ini, sebuah jawatankuasa khas Kabinet telah ditubuhkan, ianya diketuai oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang dan Hal-Ehwal Parlimen), Menteri Hal-Ehwal Agama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri / Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU yang telah berbincang pada Mac 17, 2011 tentang isu-isu yang ditangani demi mencari jalan penyelesaian.

Hasil daripada perbincangan tersebut telah memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam, terutamanya dalam konteks undang-undang yang berkaitan di negara ini.

Apa yang jelas ialah tidak timbul isu kerajaan menganiaya, mendiskriminasi atau menindas penganut agama Kristian atau mana-mana agama lain kerana hak masing-masing telah tersimpan rapi dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana kerajaan sentiasa komited untuk mempertahankannya. Malah kerajaan telah memperuntukkan cuti umum setiap kali ada perayaan yang melibatkan agama-agama di Malaysia. Perayaan-perayaan tersebut juga telah dimasukkan dalam kalender pelancongan Negara. Selain itu, kerajaan melalui kaedah-kaedah tertentu telah menyalurkan peruntukan kewangan dan bantuan khas kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam sebagai membuktikan bahawa rakyat sentiasa diutamakan.

Walau bagaimanapun, jika Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan parti pembangkang berhajat untuk terus mempertikaikan segala persetujuan bersama yang telah disepakati semasa menuntut kemerdekaan dahulu yang disuratkan secara rasmi dalam Perlembangaan Persekutuan, dan memejamkan mata menidakkan segala usaha murni kerajaan, maka umat Islam juga sudah bersedia untuk mempertahankan kebenaran agama kami dengan sehabis daya dan sekuat hati. Nampaknya mereka ini tidak dapat menerima toleransi agama yang telah diamalkan oleh kerajaan selama ini dan mereka juga gagal menerima hakikat bahawa setiap tindak tanduk kerajaan adalah berpandukan perlembagaan negara demi memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah sebuah kerajaan yang sangat prihatin terhadap rakyat sebagaimana gagasan 1Malaysia: rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Terbukti bahawa tuntutan sebagai sebuah kerajaan telah dan sedang dilunaskan oleh pentadbiran beliau disamping memperbetulkan kelemahan dan kesilapan secara konsisten. Maka atas dasar itu, umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya, wajib patuh dan bersedia untuk mempertahankan kerajaan ini dengan bersungguh-sungguh agar cita-cita murni semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan akan tercapai.

Tuesday, 5 April 2011

PILIH PEMIMPIN BERMORAL

PENGENALAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah melakukan pelbagai kesalahan sepanjang beliau berkecimpung dalam politik tanah air. Akibatnya, satu persatu pengikut dan sahabat setia beliau bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN).
Antara kesalahan yang dilakukan oleh beliau termasuklah penyalahgunaan kuasa, politik wang, kronisme dan masalah moral yang kronik (seks luar tabii).Terkini beliau dikaitkan pula dengan satu lagi kesalahan seks iaitu melanggan pelacur di hotel sebuah negara jiran. Isu ini sedang hangat dan telah menjadi kes polis apabila ianya telah didedahkan oleh kumpulan Datuk “ T ” (Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Eskay Abdullah dan Shuib Lazim).

PERANAN DSAI DALAM POLITIK TANAH AIR
Apabila DSAI dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998 akibat daripada isu moral yang dihadapi oleh beliau pada masa itu (seks luar tabii dan penyalahgunaan kuasa), beliau telah bertindak menggerakkan rakyat untuk bangkit menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kononnya dianggap melakukan kezaliman terhadap beliau. Dengan slogan “REFORMASI” beliau telah memimpin pakatan pembangkang (gabungan PAS, DAP dan PKR) untuk menentang BN dalam setiap kali pilihan raya diadakan. Dalam pilihan raya umum 1999 (PRU 1999) pakatan mereka digelar “Barisan Alternatif (BA)”, PRU tahun 2004 pakatan mereka sangat kelam kabut dan kalah teruk. Namun pada PRU 2008 sekali lagi DSAI berperanan penting dalam pakatan pembangkang dengan penubuhan “Pakatan Rakyat (PR)” dan berjaya menang 82 kerusi Parlimen dan mengambil alih kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak disamping mengekalkan Kelantan di bawah PAS. Tetapi pada awal tahun 2009, Perak telah ditawan semula oleh BN apabila 5 ADUN PR memilih untuk menjadi ADUN Bebas dan bersama dengan BN akibat hilang keyakinan terhadap DSAI. Sehingga kini, DSAI adalah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Beliau bercita-cita besar untuk menumbangkan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.


PEMIMPIN DAN MASALAH MORAL
Aspek moral sangat dititik beratkan dalam ajaran Islam apatah lagi jika melibatkan seorang pemimpin kerana masalah kepimpinan adalah bersangkut paut dengan ibadat. Pemimpin diibaratkan sebagai seorang imam yang memimpin makmum melakukan ibadat kepada Allah SWT. Jika salah imam memimpin maka rosaklah makmum yang dipimpin. Jika buruk perangai imam maka buruklah akibat yang akan diperolehi oleh makmum. Hakikatnya umat Islam sepatutnya menjadi umat contoh kepada umat lain. Maka amat tidak wajar jika orang yang menawarkan diri sebagai pemimpin mempunyai masalah moral yang teruk.
Sebagai agama yang sesuai untuk sepanjang zaman,keadaan dan masyarakat, maka sifat-sifat universal ada pada agama Islam. Demikian, jika isu moral menjadi perkiraan penting dalam Islam, begitu jugalah dalam agama-agama lain yang juga mahukan pemimpin bermoral tinggi dan berperibadi mulia.

KESIMPULAN
Sebagai rakyat, kita berhak untuk memilih individu atau kumpulan yang benar-benar layak dan bermoral tinggi untuk diangkat sebagai pemimpin. Adalah amat tidak wajar sama sekali jika aspek moral tidak dijadikan asas penting dalam perhitungan kita memilih pemimpin. Jika isteri, anak-anak, saudara mara serta sahabat dan pengikut setia pun sanggup ditipu oleh DSAI, maka sangat tidak mustahil untuk beliau menipu kita. Justeru, individu sebegini serta parti dan pakatan yang beliau sertai mestilah ditolak agar kita tidak dibebani dengan masalah yang beliau hadapi sekaligus bakal menjadikan rakyat hidup dalam sengsara apabila terpaksa bergelut dengan krisis moral dan peribadi.