Wednesday 20 May 2009

SELAMAT HARI GURU

16 Mei tiap-tiap tahun merupakan Hari Guru. Setiap tahun pelbagai acara diadakan baik oleh pihak kerajaan, pembangkang serta lain-lain bagi menghargai jasa dan pengorbanan para guru.

Abe Mat sendiri sangat terhutang budi kepada semua para guru yang pernah berjasa dalam memberikan pendidikan kepada diri ini. Tanpa guru, siapalah saya. Terima kasih cikgu, ustaz, tok guru.

Namun Abe Mat rasa terpukul bila terdengar cerita di sebuah sekolah di Gombak, sambutan hari gurunya Masya Allah, teruk sekali..Apa yang teruk? Atur caranya lah jawab penyampai khabar ini. Katanya di sekolah itu telah diadakan acara bacaan sajak serta berkaraoke. Abe Mat kata o.k apa, dapatlah cikgu-cikgu dan budak-budak happy happy release tension. Jawab beliau, release tension apa, lagi tension adalah. Ialah sepatutnya cikgu kena jayakan falsafah pendidikan Negara, melahirkan modal insan yang seimbang rohani, jasmani dan intelek, bukan jadi tukang ajar menyanyi dangdut sampai ustaz-ustazah nak mengajar budak-budak mengaji Quran pun rasa tawar hati kerana tidak selesa dengan bunyi bising tersebut.

Abe Mat hanya mampu mengeluh sahaja. Inilah dunia sudah akhir zaman apabila hiburan menjadi keutamaan mengalahkan pelajaran. Mudah-mudahan pihak yang bertanggungjawab seperti Guru Besar serta Pejabat Pelajaran Daerah dapat memperbetulkan keadaan ini sebelum penyakit ini kian bertambah parah.

Friday 15 May 2009

Nota buat Ustaz Nik Abduh

Lama benar sudah rasanya kita tertunggu-tunggu ulama dalam PAS untuk berbicara soal haq. Alhamdulillah kini muncul jua mutiara muda dalam partai Islam bernama Nik Abduh yang memiliki sifat ‘syuja’ah’ untuk bertutur yang haq walaupun pahit. Penulis percaya tulisan beliau akan mengundang pelbagai respon positif dan negatif terutama dari dalam parti sendiri. Natijahnya telah pun berlaku sebagaimana firasat penulis, beliau telah dihukum perwakilan pemuda PAS Kelantan.Apa pun tahniah penulis ucapkan kepada beliau kerana berbicara benar bertepatan dengan kehendak syarak sebagaimana yang kita belajar.

Ahli akar umbi sudah tidak tahan lagi memendam rasa. Pertembungan diantara ilmu yang dipelajari dengan sikap dan tingkah laku parti kian menjadi-jadi. Kita diajar untuk berkasih sayang sesama Islam tetapi di alam realiti nampak gayanya lain pula yang terjadi. Orang Islam bermusuh sesama Islam rupa-rupanya di negara kita ini. Mujurlah belum lagi sampai berbedil-bedilan, wal ‘iyazu billah.

Jadi sudah sampai masanya untuk menjelaskan kekeliruan ini. Peranan ulama mesti dinombor wahidkan sebagaimana asal ‘ghayah’ hizbul Islam. Sebenarnya tidak ada pergeseran antara dua Tok Guru, antara ulama. Mungkin yang ada ialah pendekatan berbeza antara penasihat, tapi harus diingat yang aula ialah pandangan ulama. Kepada yang bukan ulama, yang tidak pernah melalui disiplin pengajian agama sama ada di pondok, di sekolah arab, di madrasah atau universiti, penulis fikir baik angkat tangan ‘surrender’ dan biarlah syura ulama yang buat keputusan. Insya Allah ianya akan menghasilkan natijah yang baik walaupun tidak kena dengan selera kita kerana rujukan ulama ialah syarak.

Penulis bukan anti kepada golongan bukan ulama dalam parti tapi penulis bimbang kepada mereka. Bimbang perasaan taksub meresap dalam hati dan sanubari lantas menutup peranan akal dan ilmu. Sangat benar, semua kita mahu melihat Islam dinobat dengan erti kata yang sebenarnya di bumi Malaysia. Tetapi siyasah syar’iyyah dan kaedah usul fiqh tidak membenarkan kita berpegang kepada ‘al-ghayah tubih al-wasilah’ atau matlamat menghalalkan cara. Justeru apa yang jelas dalam nas mesti diutamakan walaupun ianya mungkin berlawanan dengan kehendak naluri manusiawi kita kerana hikmahnya hanya Allah SWT sahajalah yang lebih mengetahui. Ulama faham perkara ini.

Amat malang kiranya kita mengutamakan kepentingan hizbi melebihi kepentingan Islam sebagai din yang terangkum di dalamnya segala serbi duniawi dan ukhrawi. Justeru tepat dan kena pada masanya komentar Ustaz Nik Abduh berhubung soal unity government serta beberapa perkara lain yang bersangkutan dengan siasah umat Islam di Malaysia kontemporari ini.

Kepada Ustaz Nik Abduh, teruskan usaha saudara semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan melindungi saudara. Juga kepada semua ulama, teruskan perjuangan tuan-tuan kerana janji Allah adalah benar dan berlaku adillah walaupun bukan kepada kaum kerabat dan rakan-rakan kita. Mudah-mudahan Ustaz Nik Abduh akan terpilih diperingkat pusat nanti untuk menjadi gandingan mantap bersama Ustaz Nasaruddin Hassan dalam memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat sesi yang berikutnya, Insya Allah. Sekian, Wallahu a’lam.