Tuesday 16 June 2009

Beza ulama dan profesional

Sidang dewan rakyat yang bermula 2 hari lepas memeningkan saya bila melihat kepada aksi wakil rakyat kita. Gelagat mereka nampaknya akhir-akhir ini semakin pelik seolah-olah terdapat gangguan pada jiwa mereka. Mungkin ini senada dengan negara kita yang kini pun sedang diganggu oleh pelbagai penyakit termasuklah aedes, chikagunya dan penyakit import iaitu ‘selsema babi’.

Saya dalam beberapa keadaan ‘respect’ jugalah dengan segelintir tokoh-tokoh dalam PAS tetapi gelagat YB Datuk Seri Nizar dalam parlimen tempoh hari agak memalukan dan keterlaluan. Ya, kita tahu bahawa beliau tidak dapat menerima hakikat yang berlaku di Perak tetapi saya fakir beliau juga tentunya mengerti apa itu Qada’ dan Qadar. Seeloknya peganglah kata orang tua-tua jangan diikut hati yang kecewa kelak badan yang akan menderita.

Saya sendiri kurang faham kenapa boleh jadi macam ini. Kita yang berbicara soal perjuangan cara Rasulullah tiba-tiba terikut-ikut dengan cara yang bukan bertunjang dari ruh Islam. Mogok lapar bukan ajaran Islam, mengagungkan demokrasi bukan tuntutan Islam. Tapi nampaknya semua ini telah dilakukan kononnya atas nama perjuangan Islam. Pada saya ini bukan jihad tetapi jahat.

Dua kali saya melihat peristiwa besar yang melibatkan Datuk Seri Nizar, maka dua kali saya kecewa kerana tingkah laku beliau yang pada saya mencalar imej beradab dan beradatnya kita umat Muhammad. Pertama semasa diisytihar pemenang kerusi Parlimen Bukit Gantang. Mana ada orang buat ucapan dalam majlis tersebut, lebih-lebih lagi apabila tanpa dijemput. Saya kasihan melihat raut wajah beberapa orang petugas yang turut berada di atas pentas yang jelas kelihatan pucat akibat gelabah dengan tindakan seorang yang bertaraf professional ini. Maka terus terlintas di hati saya, kalau ya pun YB ingin berucap, mohon izinlah dengan petugas secara baik atau jika tidak diizinkan juga berucaplah di tempat lain atau gunalah saluran lain, blog, face book dan macam-macam lagilah. Apa-apa maklumat yang ingin YB sampaikan Insya Allah akan sampai jua. Cuma beradablah, kita orang Islam. Jangan tunjukkan sikap gopoh kita, sangat tidak elok.

Kali kedua YB Nizar buat kecoh yang saya lihat sendiri ialah 2 hari lepas di dewan rakyat. Saya merenung panjang, mungkin inilah sebab mengapa ada polemik diantara ulama dan professional dalam parti PAS. Boleh jadi kerana tabiat seperti inilah yang menjadi halangan mengapa profesioanal hanya direstui berada setakat dijawatan Naib Presiden sahaja. Saya juga berfikir bahawa dulu-dulu pernah Ketua Pembangkang di dewan rakyat dipegang oleh pemimpin PAS tapi perkara kurang cerdik seperti ini tidak pernah berlaku pula. Rupa-rupanya pemimpin pada waktu itu ialah golongan ulama. Golongan ini selain tahu hukum hakam, mereka juga beradab serta bijak menghidu adat setempat. Berbeza dengan professional yang mungkin kuat semangat tetapi lemah dari segi adab mungkin kerana terpengaruh dengan ilmu secular yang dipelajari sehingga beroleh pengiktirafan profesional dalam bidang-bidang tertentu seperti kejuruteraan dan lain-lain. Boleh jadi tokoh-tokoh ulama ulama dalam PAS patut menasihati golongan ini agar sentiasa berada atas landasan yang betul sebagai pejuang Islam.

Sebab itulah dalam warisan Islam, ulama besar seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Najim, Al-Farabi dan lain-lain sangat terkenal dengan ilmu professional mereka tetapi mesti dijelaskan juga bahawa mereka ini terlebih dahulu dididik dengan ilmu Islam seperti Al-Quran, Al-hadith, Fiqh, Aqidah, Tasawwuf dan lain-lain. Setelah mahir ilmu Islam barulah mereka meneroka ilmu-ilmu dunia yang lain. Sebab itulah mereka professional yang bermutu tinggi. Mereka walaupun menulis tentang sains, sosiologi, geografi dan lain-lain, tetapi tulisan mereka semuanya bertujuan untuk merungkai kebesaran Allah bagi memantapkan iman, bukan untuk berlawan dengan Allah atau menafikan Pencipta sebagaimana usaha yang dilkukan oleh pengkaji bukan Islam.

Saya fakir mungkin kerana feel inilah menyebabkan ust. Nik Abduh gelarkan mereka ustaz mee celup. Semoga Allah SWT menjauhkan bala bencana dari orang-orang yang berjuang di jalan Islam dan jauhkanlah dari kami orang yang merosak dan tidak layak dinisbahkan kepada kumpulan pejuang agama mu. Amin.