Wednesday 13 April 2011

PEMUDA MAJLIS GEREJA MALAYSIA CCM ANTI PERPADUAN

PENGENALAN
Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM) menolak 'formula 10 perkara' yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala untuk menyelesaikan kemelut kitab Injil bahasa Melayu.

Dalam satu kenyataan, badan itu menegaskan formula berkenaan, cuma penyelesaian 'tergesa-gesa' dan tidak menyelesaikan diskriminasi kerajaan persekutuan terhadap penganut Kristian negara ini.

Manakala dalam kempen pilihan raya di Sarawak, parti pembangkang menggunakan isu ini sebagai modal politik mereka dengan memperkenalkan slogan “Vote for BN = vote for anti-Christ”. Ini bertujuan untuk meraih sentiment penganut Kristian agar menolak BN dan meyokong pembangkang.

ULASAN:

Isu yang dibangkitkan oleh Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan parti pembangkang ini sebenarnya tiada kaitan dengan diskriminasi kerajaan terhadap penganut Kristian di Malaysia. Kerajaan pada hakikatnya tidak pernah menindas, mendiskriminasi atau menganiaya mana-mana pihak sama ada dia penganut mana-mana agama atau tidak menganut agama sekalipun.

Hak setiap rakyat Malaysia sentiasa dijaga oleh kerajaan selaras dengan peruntukan masing-masing yang telah pun tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini semua hanyalah manipulasi pembangkang terhadap keputusan kerajaan dalam mempertahankan keluhuran perlembagaan semata-mata dan dijadikan bahan kempen untuk menghasut rakyat membenci kerajaan dengan menggunakan sentiment agama sebagai elemen perang saraf mereka yang semakin tersasar daripada etika dan moral.

Sekiranya rakyat Malaysia menggunakan kewarasan dan rasional akal masing-masing, maka akan terlihatlah oleh mereka bahawa sebenarnya amalan toleransi kerajaan terhadap penganut agama di negara ini sangat tinggi. Ini kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tetapi agama lain juga boleh diamalkan di negara ini sebagaimana petikan berikut;

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Dengan kata lain, ini memberi erti bahawa agama lain selain Islam boleh diamalkan jika sekiranya tidak menimbulkan suasana kelam kabut dan huru-hara dalam negara tetapi jika ianya tidak mencapai matlamat aman dan damai seperti peruntukan Perkara 3 (1), maka kerajaan bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan tersebut sebagaimana peruntukan Fasal 4 yang berkait dengan pengembangan agama lain dalam kalangan umat Islam serta menjaga ketenteraman awam.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, kerajaan bertanggungjawab menjaga akidah umat Islam daripada dirosakkan oleh dakyah dan propaganda halus agama lain yang ingin memancing umat Islam agar meninggalkan ajaran Islam dan menganut agama mereka.

Hak untuk mengamalkan agama masing-masing telah termaktub kemas dalam peruntukan perlembagaan sebagaimana berikut:

Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Isu Injil bahasa Melayu atau Al-Kitab sepatunya telah pun selesai apabila kerajaan membenarkan pengedaran kitab tersebut di Malaysia dengan mengikut beberapa peraturan yang telah ditetapkan supaya hak semua rakyat terpelihara serta ketenteraman awam terjaga.

Atas keprihatinan kerajaan terhadap isu ini, sebuah jawatankuasa khas Kabinet telah ditubuhkan, ianya diketuai oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang dan Hal-Ehwal Parlimen), Menteri Hal-Ehwal Agama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri / Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU yang telah berbincang pada Mac 17, 2011 tentang isu-isu yang ditangani demi mencari jalan penyelesaian.

Hasil daripada perbincangan tersebut telah memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam, terutamanya dalam konteks undang-undang yang berkaitan di negara ini.

Apa yang jelas ialah tidak timbul isu kerajaan menganiaya, mendiskriminasi atau menindas penganut agama Kristian atau mana-mana agama lain kerana hak masing-masing telah tersimpan rapi dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana kerajaan sentiasa komited untuk mempertahankannya. Malah kerajaan telah memperuntukkan cuti umum setiap kali ada perayaan yang melibatkan agama-agama di Malaysia. Perayaan-perayaan tersebut juga telah dimasukkan dalam kalender pelancongan Negara. Selain itu, kerajaan melalui kaedah-kaedah tertentu telah menyalurkan peruntukan kewangan dan bantuan khas kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam sebagai membuktikan bahawa rakyat sentiasa diutamakan.

Walau bagaimanapun, jika Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan parti pembangkang berhajat untuk terus mempertikaikan segala persetujuan bersama yang telah disepakati semasa menuntut kemerdekaan dahulu yang disuratkan secara rasmi dalam Perlembangaan Persekutuan, dan memejamkan mata menidakkan segala usaha murni kerajaan, maka umat Islam juga sudah bersedia untuk mempertahankan kebenaran agama kami dengan sehabis daya dan sekuat hati. Nampaknya mereka ini tidak dapat menerima toleransi agama yang telah diamalkan oleh kerajaan selama ini dan mereka juga gagal menerima hakikat bahawa setiap tindak tanduk kerajaan adalah berpandukan perlembagaan negara demi memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah sebuah kerajaan yang sangat prihatin terhadap rakyat sebagaimana gagasan 1Malaysia: rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Terbukti bahawa tuntutan sebagai sebuah kerajaan telah dan sedang dilunaskan oleh pentadbiran beliau disamping memperbetulkan kelemahan dan kesilapan secara konsisten. Maka atas dasar itu, umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya, wajib patuh dan bersedia untuk mempertahankan kerajaan ini dengan bersungguh-sungguh agar cita-cita murni semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan akan tercapai.

Tuesday 5 April 2011

PILIH PEMIMPIN BERMORAL

PENGENALAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah melakukan pelbagai kesalahan sepanjang beliau berkecimpung dalam politik tanah air. Akibatnya, satu persatu pengikut dan sahabat setia beliau bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN).
Antara kesalahan yang dilakukan oleh beliau termasuklah penyalahgunaan kuasa, politik wang, kronisme dan masalah moral yang kronik (seks luar tabii).Terkini beliau dikaitkan pula dengan satu lagi kesalahan seks iaitu melanggan pelacur di hotel sebuah negara jiran. Isu ini sedang hangat dan telah menjadi kes polis apabila ianya telah didedahkan oleh kumpulan Datuk “ T ” (Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Eskay Abdullah dan Shuib Lazim).

PERANAN DSAI DALAM POLITIK TANAH AIR
Apabila DSAI dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998 akibat daripada isu moral yang dihadapi oleh beliau pada masa itu (seks luar tabii dan penyalahgunaan kuasa), beliau telah bertindak menggerakkan rakyat untuk bangkit menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kononnya dianggap melakukan kezaliman terhadap beliau. Dengan slogan “REFORMASI” beliau telah memimpin pakatan pembangkang (gabungan PAS, DAP dan PKR) untuk menentang BN dalam setiap kali pilihan raya diadakan. Dalam pilihan raya umum 1999 (PRU 1999) pakatan mereka digelar “Barisan Alternatif (BA)”, PRU tahun 2004 pakatan mereka sangat kelam kabut dan kalah teruk. Namun pada PRU 2008 sekali lagi DSAI berperanan penting dalam pakatan pembangkang dengan penubuhan “Pakatan Rakyat (PR)” dan berjaya menang 82 kerusi Parlimen dan mengambil alih kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak disamping mengekalkan Kelantan di bawah PAS. Tetapi pada awal tahun 2009, Perak telah ditawan semula oleh BN apabila 5 ADUN PR memilih untuk menjadi ADUN Bebas dan bersama dengan BN akibat hilang keyakinan terhadap DSAI. Sehingga kini, DSAI adalah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Beliau bercita-cita besar untuk menumbangkan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.


PEMIMPIN DAN MASALAH MORAL
Aspek moral sangat dititik beratkan dalam ajaran Islam apatah lagi jika melibatkan seorang pemimpin kerana masalah kepimpinan adalah bersangkut paut dengan ibadat. Pemimpin diibaratkan sebagai seorang imam yang memimpin makmum melakukan ibadat kepada Allah SWT. Jika salah imam memimpin maka rosaklah makmum yang dipimpin. Jika buruk perangai imam maka buruklah akibat yang akan diperolehi oleh makmum. Hakikatnya umat Islam sepatutnya menjadi umat contoh kepada umat lain. Maka amat tidak wajar jika orang yang menawarkan diri sebagai pemimpin mempunyai masalah moral yang teruk.
Sebagai agama yang sesuai untuk sepanjang zaman,keadaan dan masyarakat, maka sifat-sifat universal ada pada agama Islam. Demikian, jika isu moral menjadi perkiraan penting dalam Islam, begitu jugalah dalam agama-agama lain yang juga mahukan pemimpin bermoral tinggi dan berperibadi mulia.

KESIMPULAN
Sebagai rakyat, kita berhak untuk memilih individu atau kumpulan yang benar-benar layak dan bermoral tinggi untuk diangkat sebagai pemimpin. Adalah amat tidak wajar sama sekali jika aspek moral tidak dijadikan asas penting dalam perhitungan kita memilih pemimpin. Jika isteri, anak-anak, saudara mara serta sahabat dan pengikut setia pun sanggup ditipu oleh DSAI, maka sangat tidak mustahil untuk beliau menipu kita. Justeru, individu sebegini serta parti dan pakatan yang beliau sertai mestilah ditolak agar kita tidak dibebani dengan masalah yang beliau hadapi sekaligus bakal menjadikan rakyat hidup dalam sengsara apabila terpaksa bergelut dengan krisis moral dan peribadi.