Wednesday 9 June 2010

Lari dari tanggungjawab

Ada sahabat bertanya kepada saya semalam, betulkah kita tidak perlu buat masjid? Apa yang perlu ialah bersolat dan mengimarahkan masjid. Maka kerajaan tak perlu buat masjid, kalau rakyat mahukan masjid , mereka sendirilah yang perlu buat bukannya kerajaan, sambung sahabat saya lagi.

Saya termenung seketika bila mendengar persoalan ini kerana ada logiknya juga hujah yang dilontarkan itu. Tetapi bila teringatkan sirah Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Yathrib maka fikiran saya mula meragui ketepatan hujah tadi. Nabi SAW semasa peristiwa Hijrah, telah melakukan 3 perkara utama sebagaimana yang dinukilkan dalam banyak kitab Sirah iaitu, membina masjid, mempersaudarakan diantara Muhajirin dan Ansar, dan menyediakan perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah).

Jika masjid bukan perkara yang penting, sudah tentu Rasulullah SAW tidak membinanya apalagi pada saat kegawatan dikejar musuh, ketiadaan wang dan kekuatan. Maka jelaslah kepada kita bahawa masjid adalah sesuatu yang sangat signifikan dalam Islam sehinggakan Nabi SAW membinanya dengan tulang empat kerat baginda sendiri serta dibantu oleh para sahabat. Masjid menjadi pusat kegiatan umat Islam dizaman awal. Masjid menjadi tempat beribadat, bertemu, bersatu, bermesyuarat, berhukum dan segala macam hal ehwal umat Islam. Masjid adalah syiar agama.Justeru apa yang Nabi buat itu pasti ada hikmahnya dan perlu diikuti kerana baginda contoh ikutan. Perlu juga diingat, Nabi juga merangkap pemimpin kepada umat Islam seluruhnya.


Bila saya bertanya, kenapa disebut soal bina masjid ini, maka sahabat saya spontan menjawab bukan saya kata tapi Menteri Besar Kelantan yang kata. Oh, rupanya itu hujah MB Kelantan. Memang betullah hujah beliau itu kerana kerajaan Kelantan tidak membina masjid. Apa yang dilakukan ialah apabila menang pada tahun 1990 dahulu, kerajaan pimpinan PAS telah mengambil alih masjid yang banyak dibina oleh kerajaan terdahulu (BN), lalu ditukar cat daripada warna asal kepada hijau, ditukar karpet dari karpet asal kepada yang berwarna hijau, dan dilakukan accessment kepada semua imam agar selari dengan dasar kerajaan baru. Hal ini berlaku di seluruh Kelantan, cuma rakyat sedar atau tidak sahaja.

Sekolah saya, Maahad Muhammadi Lilbanin turut menjadi bukti. Pagar dicat warna hijau, tiang bendera hijau, bahkan rostrum perhimpunan pun berwarna hijau. Imej ini terpahat segar dalam memori yang saya rakamkan pada tahun-tahun awal 90an.

Kesimpulan yang boleh saya buat ialah, hujah masjid bukan beban kerajaan hanyalah hujah politik untuk mengalih beban yang perlu dipikul sahaja. Dengan kata lain, kerajaan Kelantan mahu lepas tangan dalam soal pembinaan masjid, bahkan bukan pembinaan masjid sahaja malah apa-apa pembangunan lain pun kerana sebetulnya kerajaan tidak mempunyai dana yang cukup untuk melakukan semua itu. Apabila diasak oleh UMNO dan didesak oleh rakyat supaya kerajaan negeri turut terlibat dalam membina masjid maka rakyat dipsycho dengan hujah ini bahawa rakyatlah yang perlu membina masjid jika mahu beribadat kerana bila kita terlibat membina tempat ibadat maka kita akan terasa bertanggungjawab untuk mengimarahkannya pula.

Sebagaimana kata Sayyidina Ali RA apabila ditanya tentang puak Khawarij apabila mereka berhujah dengan ayat 44 surah Al-Maidah, kata Ali: “Kalimah yang benar tetapi apa yang dimahukan oleh Khawarij itu batil (karut)”. Begitu jugalah hal PAS yang sentiasa mencari helah untuk menutup kelemahan sendiri agar rakyat tidak menyedarinya. Harus diingat, ini buka kali pertama dan kali terakhir penyalahgunaan agama dipraktikan oleh mereka, maka berwaspadalah kita. Jangan nanti duit poket mereka pun ditagih dari rakyat sudahlah, walaupun setiap malam duit dikutip dari rakyat dalam pelbagai bentuk nama; infaq, sedeqah, fi sabilillah dan lain-lain. Begitulah politik…Wallahu a’lam.