Wednesday 13 April 2011

PEMUDA MAJLIS GEREJA MALAYSIA CCM ANTI PERPADUAN

PENGENALAN
Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM) menolak 'formula 10 perkara' yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala untuk menyelesaikan kemelut kitab Injil bahasa Melayu.

Dalam satu kenyataan, badan itu menegaskan formula berkenaan, cuma penyelesaian 'tergesa-gesa' dan tidak menyelesaikan diskriminasi kerajaan persekutuan terhadap penganut Kristian negara ini.

Manakala dalam kempen pilihan raya di Sarawak, parti pembangkang menggunakan isu ini sebagai modal politik mereka dengan memperkenalkan slogan “Vote for BN = vote for anti-Christ”. Ini bertujuan untuk meraih sentiment penganut Kristian agar menolak BN dan meyokong pembangkang.

ULASAN:

Isu yang dibangkitkan oleh Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan parti pembangkang ini sebenarnya tiada kaitan dengan diskriminasi kerajaan terhadap penganut Kristian di Malaysia. Kerajaan pada hakikatnya tidak pernah menindas, mendiskriminasi atau menganiaya mana-mana pihak sama ada dia penganut mana-mana agama atau tidak menganut agama sekalipun.

Hak setiap rakyat Malaysia sentiasa dijaga oleh kerajaan selaras dengan peruntukan masing-masing yang telah pun tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini semua hanyalah manipulasi pembangkang terhadap keputusan kerajaan dalam mempertahankan keluhuran perlembagaan semata-mata dan dijadikan bahan kempen untuk menghasut rakyat membenci kerajaan dengan menggunakan sentiment agama sebagai elemen perang saraf mereka yang semakin tersasar daripada etika dan moral.

Sekiranya rakyat Malaysia menggunakan kewarasan dan rasional akal masing-masing, maka akan terlihatlah oleh mereka bahawa sebenarnya amalan toleransi kerajaan terhadap penganut agama di negara ini sangat tinggi. Ini kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tetapi agama lain juga boleh diamalkan di negara ini sebagaimana petikan berikut;

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Dengan kata lain, ini memberi erti bahawa agama lain selain Islam boleh diamalkan jika sekiranya tidak menimbulkan suasana kelam kabut dan huru-hara dalam negara tetapi jika ianya tidak mencapai matlamat aman dan damai seperti peruntukan Perkara 3 (1), maka kerajaan bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan tersebut sebagaimana peruntukan Fasal 4 yang berkait dengan pengembangan agama lain dalam kalangan umat Islam serta menjaga ketenteraman awam.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, kerajaan bertanggungjawab menjaga akidah umat Islam daripada dirosakkan oleh dakyah dan propaganda halus agama lain yang ingin memancing umat Islam agar meninggalkan ajaran Islam dan menganut agama mereka.

Hak untuk mengamalkan agama masing-masing telah termaktub kemas dalam peruntukan perlembagaan sebagaimana berikut:

Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Isu Injil bahasa Melayu atau Al-Kitab sepatunya telah pun selesai apabila kerajaan membenarkan pengedaran kitab tersebut di Malaysia dengan mengikut beberapa peraturan yang telah ditetapkan supaya hak semua rakyat terpelihara serta ketenteraman awam terjaga.

Atas keprihatinan kerajaan terhadap isu ini, sebuah jawatankuasa khas Kabinet telah ditubuhkan, ianya diketuai oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang dan Hal-Ehwal Parlimen), Menteri Hal-Ehwal Agama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri / Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU yang telah berbincang pada Mac 17, 2011 tentang isu-isu yang ditangani demi mencari jalan penyelesaian.

Hasil daripada perbincangan tersebut telah memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam, terutamanya dalam konteks undang-undang yang berkaitan di negara ini.

Apa yang jelas ialah tidak timbul isu kerajaan menganiaya, mendiskriminasi atau menindas penganut agama Kristian atau mana-mana agama lain kerana hak masing-masing telah tersimpan rapi dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana kerajaan sentiasa komited untuk mempertahankannya. Malah kerajaan telah memperuntukkan cuti umum setiap kali ada perayaan yang melibatkan agama-agama di Malaysia. Perayaan-perayaan tersebut juga telah dimasukkan dalam kalender pelancongan Negara. Selain itu, kerajaan melalui kaedah-kaedah tertentu telah menyalurkan peruntukan kewangan dan bantuan khas kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam sebagai membuktikan bahawa rakyat sentiasa diutamakan.

Walau bagaimanapun, jika Pemuda Majlis Gereja Malaysia (CCM), Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan parti pembangkang berhajat untuk terus mempertikaikan segala persetujuan bersama yang telah disepakati semasa menuntut kemerdekaan dahulu yang disuratkan secara rasmi dalam Perlembangaan Persekutuan, dan memejamkan mata menidakkan segala usaha murni kerajaan, maka umat Islam juga sudah bersedia untuk mempertahankan kebenaran agama kami dengan sehabis daya dan sekuat hati. Nampaknya mereka ini tidak dapat menerima toleransi agama yang telah diamalkan oleh kerajaan selama ini dan mereka juga gagal menerima hakikat bahawa setiap tindak tanduk kerajaan adalah berpandukan perlembagaan negara demi memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah sebuah kerajaan yang sangat prihatin terhadap rakyat sebagaimana gagasan 1Malaysia: rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Terbukti bahawa tuntutan sebagai sebuah kerajaan telah dan sedang dilunaskan oleh pentadbiran beliau disamping memperbetulkan kelemahan dan kesilapan secara konsisten. Maka atas dasar itu, umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya, wajib patuh dan bersedia untuk mempertahankan kerajaan ini dengan bersungguh-sungguh agar cita-cita murni semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan akan tercapai.

No comments:

Post a Comment