Bola sepak satu sukan yang sangat berpengaruh dan menjadi minat majoriti kaum lelaki malah mampu juga menarik hati golongan wanita. Sebut sahaja bola, pasti semua orang tahu.
Kini dalam masa tak beberapa minggu lagi demam Piala Dunia atau pun World Cup akan melanda seluruh dunia termasuk negara kita. Walau bagaimanapun satu isu yang barangkali lebih besar malah lebih hangat dan lebih serius daripada ‘World Cup’ ialah judi bola. Heboh satu Malaysia sekarang ialah reaksi orang ramai terhadap keputusan kerajaan memberi lesen kepada Berjaya Group untuk menganjurkan ‘judi bola’ pada musim World Cup yang akan datang.
Reaksi ini bermula apabila YB Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan membuat pengumuman berkaitan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan lesen kepada syarikat tertentu agar menguruskan ‘judi’ semasa Piala Dunia berlansung. Ini bertujuan untuk mengawal ‘judi haram’ berjalan secara tidak terkawal dan berleluasa disamping dapat dijadikan sumber kewangan Negara untuk disalurkan ke bidang sukan dan sebagainya. Melalui pengeluaran lessen ini, kerajaan akan mengenakan cukai pada kadar yang tertentu kepada syarikat pengendali terbabit agar wang tersebut dapat dimanfaatkan untuk rakyat secara amnya. Selain itu ianya juga bertujuan untuk membendung dan mengawal aktiviti pertaruhan haram, yang kini berleluasa. Beberapa garis panduan akan ditetapkan kepada syarikat berkenaan termasuk tidak membenarkan mengambil pekerja beragama Islam dan dilarang menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan Islam.
Namun tindakan ini telah mengundang reaksi yang negatif daripada banyak pihak terutama orang Islam. Antara yang paling awal membantah cadangan ini ialah PERKASA, sebuah NGO yang lantang berjuang untuk kepentingan Islam, orang Melayu dan masyarakat Bumiputera lainnya. Turut menentang ialah ABIM, PKPIM dan Mufti Perak. Tentangan juga kedengaran daripada parti politik. Paling menjadi juara dalam membuat respon ialah parti PAS melalui Dewan Pemuda PAS yang telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan penyerahan memorandum kepada pihak-pihak tertentu bermula Jumaat lepas di Kuala Lumpur. Terkini, sayap tersebut difahamkan akan mengadakan rally secara besar-besaran ke seluruh negara secara berterusan pada setiap Jumaat dan akan dimulai Jumaat depan di Masjid Kg. Perupuk Bachok, di kawasan YB Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Ketua UMNO Bahagian Bachok. PAS sebagai sebuah badan siasah seumpama mendapat ‘peluru baru’ dengan tercetusnya isu ini. ‘Judi bola’ dijadikan modal besar dalam kempennya untuk mengganyang dan melanyak parti pemerintah khususnya UMNO. Isu yang dimainkan ialah UMNO halalkan judi. Maka terpampanglah kain rentang di banyak tempat di seluruh Malaysia dalam sehari dua ini secara sinis menyindir dan membantah keputusan kerajaan membenarkan ‘judi bola’.
Saya suka untuk melihat isu ini dalam konteks yang sewajarnya agar ianya adil kepada semua pihak sama ada kerajaan atau pun rakyat awam. Perlu dibezakan diantara dua perkara asas ini iaitu hukum judi dalam Islam dan hukum pemerintah mengeluarkan lesen kepada orang bukan Islam untuk menjalankan perniagaan melibatkan judi.
Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa judi, walau dalam apa bentuk atau nama sekali pun adalah HARAM dalam Islam. Orang yang berjudi adalah berdosa besar kerana melanggar titah perintah Allah sebagaimana dalam Al-Quran yang menyebut tentang perkara ini: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, sembelihan untuk berhala dan tenung nasib itu kotor dari pekerjaan syaitan. Maka jauhilah supaya kamu mendapat kejayaan” (Al-Maidah: 90). Sekiranya orang Islam tetap berjudi juga setelah mengetahui hukum haramnya judi ini maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan berdosa. Dan sekiranya dia mengatakan bahawa judi itu TIDAK HARAM dalam Islam, atau dengan kata lain dia engkar dengan hukum HARAMnya judi maka ketika itu dia telah kufur dengan agama Allah, wal’iazubillah.
Namun dalam kes yang berlaku ini, saya percaya YB Datuk Awang tidak bermaksud menghalalkan judi atau mengingkari bahawa judi itu HARAM. Apa yang dinyatakan oleh beliau ialah kerajaan akan meluluskan lesen mengendalikan judi sempena World Cup ini dan bukannya kerajaan telah menghukumkan judi itu sesuatu yang HALAL. Lesen itu pula dikeluarkan kepada syarikat milik orang bukan Islam dan dilakukan dengan syarat-syarat yang ketat supaya orang Islam tidak terlibat dengan aktiviti judi ini. Hanya yang dibenarkan berjudi ialah orang bukan Islam sahaja bukannya semua orang.
Justeru, saya melihat bahawa pengeluaran lesen judi ini sama seperti pengeluaran lesen untuk perkara-perkara HARAM yang lain seperti babi, pembinaan berhala dan rumah ibadat orang bukan Islam dan arak. Jika lesen boleh dikeluarkan untuk mengilang, mengedar dan menjual arak, maka mengapa lesen untuk berjudi tidak boleh dikeluarkan oleh kerajaan padahal kedua-dua perkara ini sama hukum HARAMnya dalam Islam?Jika berhala sembahan orang bukan Islam dalam bentuk yang pelbagai, sampai lebih tinggi dari menara masjid pun telah tegak berdiri dengan rileksnya tanpa ada apa-apa halangan daripada kerajaan-kerajaan negeri berkenaan, maka mengapa tindakan melesenkan judi oleh kerajaan pusat menjadi halangan pula? Adakah bantahan ini bermotif politik atau benar-benar kerana agama?
Jika bantahan kerana agama, mengapa semasa orang sibuk membantah penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian tempoh hari telah tidak mendapat sambutan yang sebegini agresif daripada pihak PAS? Perlu diingatkan bahawa meluluskan lesen menternak babi, mengilang dan menjual arak serta membina berhala besar adalah bukan bermakna mengatakan babi, arak dan berhala adalah HALAL dalam Islam bahkan ianya tetap HARAM selama-lamanya. Apa yang dibuat oleh kerajaan hanyalah sebagai bertindak mengikut maslahat rakyat bukan Islam yang memerlukan perkara-perkara tersebut dalam kehidupan mereka. Oleh yang demikian, judi, arak babi dan segala macam benda haram itu adalah bagi orang bukan Islam dan bukannya untuk orang Islam. Sabda Rasulullah SAW: “yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas…”
Berfikir tentang ini maka saya berasa sedikit konfius, apa isu sebenarnya…
No comments:
Post a Comment