Friday, 7 January 2011

Di mana Jati Diri Kerajaan?

Saya hairan mengapa kerajaan kita dari sehari ke sehari dilihat sangat berlembut dengan pihak-pihak tertentu dan kadang-kadang keras kepada pihak-pihak yang lain pula. Lebih malang apabila rakyat khususnya orang Melayu, sebahagian besarnya melihat kerajaan seolah-olah merendah-rendahkan maruah orang Melayu sendiri. Beberapa kes berikut mungkin boleh memberi sedikit gambaran bagaimana persepsi ini terbentuk.

Kes pertama, pengetua sekolah masing-masing seorang di Kedah dan seorang di Johor dikenakan tindakan tatatertib kerana kononnya mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada beberapa orang murid sekolah mereka yang telah melakukan kesalahan disiplin. Kes ini disensasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dari kalangan pengamal politik dan media massa tertentu sehinggakan ia menjadi seolah-olah satu isu yang cukup besar dan mengancam perpaduan nasional.

Kes kedua, seorang pegawai kanan Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan juga telah diambil tindakan tatatertib oleh pihak kerajaan kerana beliau didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dalam sebuah program tertutup bersama Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan. Lucu sekali apabila wartawan dari sebuah akhbar Cina menyelinap masuk ke majlis tersebut dengan memakai selendang kepala dan tidak disedari oleh para peserta. Maklumat yang disampaikan dalam program tersebut telah disensasikan dalam terbitan akhbar terbabit sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan parti politik lebih-lebih lagi parti komponen BN yang mewakili orang-orang Cina.

Kes ketiga, seorang remaja Cina yang biasa dirujuk bernama Na Mee Wee- yang acap kali mencetus kontroversi melalui penghasilan filem pendek dalam Youtube seperti mengubah lagu Negaraku, memaki Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memaki seorang Pengetua di Johor dan Kementerian Pelajaran Malaysia – telah diberi layanan baik oleh salah seorang Menteri Kabinet di bangunan Parlimen. Beliau ke bangunan tersebut dengan pakaian biasa ‘ala rappers’ tanpa perlu berpakaian sopan mengikut protokol Parlimen sebagaimana perlu diikuti oleh rakyat biasa yang lainnya.

Kes keempat dan terkini ialah isu novel karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain berjudul Interlok. Novel yang dijadikan teks sastera SPM ini dikatakan telah menyentuh sensitiviti kaum India apabila memaparkan perihal kasta dalam masyarakat mereka. Para penentang novel ini – terdiri daripada gabungan NGO masyarakat India - berhujah bahawa ia telah ditulis dengan fakta yang tidak tepat dan menyinggung perasaan mereka. Lantaran itu mereka mengugut akan membakar novel tersebut sebagai simbolik rasa tidak puas hati terhadap pihak kerajaan yang menggunakannya sebagai buku teks sekolah. Natijahnya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran telah mengarahkan Kementerian Pelajaran menubuhkan jawatan kuasa untuk menangani isu tersebut agar ianya tidak merosakkan perpaduan masyarakat.

Merujuk kepada kes-kes yang dipaparkan di atas, kini mula tercetus cakap-cakap dalam kalangan orang awam khususnya orang Melayu bahawa kerajaan BN sedang menyusut nilai kepekaan terhadap sensitiviti dan perasaan bangsa Melayu.

Dalam kes yang pertama ramai berhujah mengatakan bahawa tidak adil pihak Pengetua dikenakan tindakan tatatertib hanya kerana tuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kerana sering kali orang bukan Melayu tersalah faham percakapan orang Melayu yang kaya dengan bunga bahasa, kiasan, madah, pantun dan perumpamaan. Apatah lagi jika yang membuat tuduhan itu merupakan mereka yang mempunyai masalah disiplin serta boleh dipertikai dari sudut moralnya.

Kes kedua pula memperlihatkan bahawa risiko menjadi pegawai kerajaan adalah amat tinggi. Lebih-lebih lagi sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyebarkan dasar-dasar kerajaan dan menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu akan hak dan tanggungjawab mereka. Jika dalam majlis yang tertutup untuk orang Melayu pun boleh disensasikan sehingga meletus isu besar, maka apa lagi jika hal-hal sejarah, peruntukan Perlembagaan dan kenegaraan ini dibincangkan secara terbuka tentu akan lebih menimbulkan masalah. Apakah perbuatan menyelinap masuk tanpa kebenaran itu sesuatu yang wajar?

Bagi kes Na Mee Wee, ramai melahirkan rasa marah terhadap respond kerajaan dalam menangani isu ini. Mereka berhujah, jika remaja Melayu berbuat kesalahan serupa sudah tentu kerajaan akan bertindak sama ada melalui penguatkuasaan akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) atau mana-mana akta lain yang bersesuaian. Tetapi dalam hal ini, nampaknya kerajaan seolah-olah segan untuk menguatkuasakan mana-mana akta pun tanpa rakyat mengetahui sebab-sebab keistimewaan remaja ini.

Kes ‘Interlok’ hanyalah merupakan siri-siri kecairan jati diri kerajaan BN terhadap tuntutan masyarakat bukan Melayu. Orang Melayu beranggapan bahawa jika tiada novel ini sekalipun hakikat kasta dalam masyarakat India beragama Hindu akan tetap diketahui umum kerana ia merupakan fakta yang tidak boleh disembunyikan. Buku-buku berkaitan agama Hindu dan masyarakat India yang ditulis oleh ramai pengkaji termasuklah Ninian Smart, Huston Smith dan Ahmad Syalabi tetap menyebut perkara ini bahkan banyak perkara lain yang lebih sensitif jika ingin diperincikan.

Memerhati beberapa perkembangan ini, saya secara peribadi berasa amat cemas jika trend ini berterusan kerana akhirnya orang Melayu akan hilang sabar mereka jika saban hari dihimpit kanan dan kiri. Orang Melayu sedar walau pun mereka berasal dari leluhur ini, walau pun mereka gah dengan ‘ketuanan’ Melayu, walau pun Islam diperakukan sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta beberapa perkara yang sering dianggap sebagai hak istimewa Melayu, namun pada hakikatnya ramai Melayu yang merempat di bumi sendiri. Melayu masih lemah dari segenap sudut. Bahasa Melayu belum benar-benar didaulatkan sebagaimana ‘gempak’ dalam perlembagaan. Orang Melayu ada sebahagiannya kurang gemar bercakap Melayu. Islam pula kadang-kadang hanya untuk kempen politik sahaja sedangkan banyak perkara yang dilaksanakan sehari-hari berlawanan dengan ajaran Islam. Ekonomi negara dikuasai oleh kaum bukan Melayu, ia realiti dan mudah nampak walau di mana kita berada di bumi Malaysia ini.

Jika Melayu hilang sabar maka yang akan rugi ialah kita sendiri juga. Kerajaan pusat yang selama ini diterajui oleh BN mungkin boleh tumbang jika trend penghakisan jati diri Melayu berlaku secara berterusan dari luar dan dalam. Justeru UMNO sebagai ‘the big brother’ dalam keluarga besar BN perlu memaksimakan peranannya agar ia kembali diyakini oleh orang Melayu. Parti-parti komponen yang lain juga mesti dimuhasabahkan agar menghayati prinsip perjuangan datuk nenek mereka semasa mula-mula mengadakan kerjasama dengan penduduk asal negara ini lebih 50 tahun yang lampau. Jangan pula kerana ingin menjadi hero kaum masing-masing maka prinsip asal yang menjadi kekuatan perhubungan kongsi kuasa BN akan terlerai begitu sahaja dan merugikan semua pihak.

Tindak tanduk BN sentiasa diperhatikan oleh musuh politik mereka siang dan malam. Walau pun kita yakin pakatan pembangkang masih terkial-kial mencari titik persefahaman sesama mereka, namun perlu juga berwaspada bahawa rakyat jika sudah bosan dengan sesuatu parti politik yang tidak memberikan apa-apa harapan, maka mereka sangat bersedia untuk menukar kerajaan!

No comments:

Post a Comment