Wednesday, 5 January 2011

Datuk Khusrin Munawi, SUK baharu negeri Selangor

Banyak laman blog sehari dua ini bercakap soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu, Datuk Khusrin Munawi. Pelantikan beliau agak kontroversi kerana mendapat bantahan pihak kerajaan negeri pimpinan pakatan PKR+DAP+PAS.

Walau bagaimanapun pelantikan tersebut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor. Isu ini semakin menarik apabila semalam, hampir semua akhbar memaparkan jawapan pihak Istana Selangor berhubung isu ini yang rata-rata melihat sebagai kenyataan balas terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor sebelum itu.

Dalam isu ini saya melihat ada 2 faktor utama mengapa Datuk Khusrin menjadi ‘masalah’ kepada kerajaan pakatan PKR+DAP+PAS Selangor. Pertama berkait dengan masalah pergelutan politik BN dan Pakatan PKR+DAP+PAS dan yang kedua ialah masalah perbezaan pentafsiran Islam dan sensitiviti masyarakat.

Berasaskan pemerhatian saya terhadap paparan laman blog, media massa, ceramah politik dan perbualan orang ramai khususnya yang pro-pakatan PKR+DAP +PAS, mereka melihat Datuk Khusrin sebagai pro-UMNO atau setidak-tidaknya bertindak atas kepentingan UMNO. Berpandukan kepada beberapa insiden yang melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta beberapa individu tertentu, Datuk Khusrin yang pada waktu itu merupakan Pengarah JAIS dilihat sangat bersemangat untuk menggunakan peruntukan undang-undang bagi menggagalkan usaha kerajaan negeri Selangor mendekatkan diri dengan rakyat terutama melalui platform masjid dan surau.

Dalam hal ini sebagai contoh, JAIS telah menarik balik tauliah mengajar di masjid bagi Ahli Parlimen Shah Alam yang mewakili PAS. JAIS juga telah menahan bekas Mufti Perlis yang membuat ucapan dalam sebuah rumah di Selangor yang mana pada waktu itu terdapat juga wakil rakyat kerajaan pakatan PKR+DAP+PAS Selangor serta pengikut-pengikut mereka. Lebih menarik apabila JAIS telah mengeluarkan arahan agar pihak pengurusan masjid dan surau tidak membenarkan mana-mana pihak terutama yang tiada tauliah untuk menyampaikan ceramah, tazkirah atau pun khutbah yang berunsurkan politik kepartian. Arahan ini menjadi lebih keras terutama semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor tempoh hari.

Ekoran daripada situasi ini, maka nama Datuk Khusrin menjadi semakin tidak popular dalam pentadbiran kerajaan Selangor. Namun, bagi beliau apa yang telah dilakukan hanyalah semata-mata atas dasar menjalankan tugas sebagai penjawat awam yang mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap majikan dan rakyat. Tindakan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam negeri Selangor serta melaksanakan titah Sultan sebagai Ketua agama Islam.

Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, tentu sekali Datuk Khusrin perlu berperanan sebagai pengawal kepada perkembangan Islam dalam masyarakat. Sebarang salah faham dalam beragama mesti beliau tangani dengan sebaik mungkin dan dengan kadar yang segera agar aqidah umat Islam sentiasa terpelihara. Adalah menjadi tanggungjawab beliau dan mana-mana penjawat awam sekali pun untuk mempertahankan dasar yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing supaya ia tidak dicabuli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apabila autoriti agama Islam menetapkan bahawa aqidah ahlu sunah wal jama’ah berasaskan ajaran Imam Abu Hassan Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi sahaja yang mesti menjadi ikutan rakyat negeri Selangor, maka keputusan tersebut mestilah dipatuhi dan rakyat hendaklah akur agar keharmonian dalam beragama dapat dikekalkan.
Jika ada pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab mahu menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan keputusan tersebut maka ia menjadi tanggungjawab JAIS untuk menanganinya melalui pendekatan yang difikirkan sesuai sama ada melalui perbincangan, muzakarah atau penguatkuasaan undang-undang.

Nampaknya dalam kes-kes di atas pihak JAIS tiada pilihan lain melainkan pendekatan penguatkuasaan undang-undang memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah berhubung dengan isu ‘tiada tauliah mengajar’. Saya fikir saya boleh bersetuju dengan pendekatan ini kerana ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Justeru saya menjangkakan pelantikan Datuk Khusrin sebagai SUK Selangor yang baharu bakal menimbulkan konflik yang berpanjangan di antara pembuat dasar dan pelaksana dasar kerana di peringkat permulaan ini pun kita sudah melihat bibit-bibit ‘masalah’ sudah pun berlaku. Nasihat saya kepada kerajaan Selangor; “please watch your back, Khusrin is coming”, dan kepada Datuk Khusrin; “mabruk ‘alaika, buktikan bahawa orang agama pun boleh memimpin SUK Selangor".

No comments:

Post a Comment