Monday, 27 December 2010

Beza 1Malaysia dan One Israel

Untuk lebih memahami gagasan 1Malaysia serta bezanya dengan One Israel, jom kita baca artikel di bawah ini. Jom!

Beza 1Malaysia dan One Israel
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm (28.12.2010)

Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? Rencana ini cuba mengupas perbezaan kedua-dua gagasan terbabit dengan memberikan penekanan kepada aspek konsep bangsa. Konsep One Israel diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kaum Yahudi di bumi Palestin. Justeru, One Israel berkaitan dengan kesinambungan perjuangan Zionis yang terus menerus berusaha memperkukuh kedudukan mereka di bumi Palestin.

One Israel adalah gagasan yang bersifat rasis, egoistik, cauvinistik dan partikularistik. Ia mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestin. Gagasan tersebut dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Melaluinya, rejim Zionis Israel melaksanakan dasar pentadbiran yang mengutamakan kaum Yahudi di negara haram Israel itu.

Oleh itu, segala bentuk dasar pembangunan sosioekonomi adalah untuk kepentingan kaum Yahudi semata-mata, manakala rakyat Palestin terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka.

Pada hemat saya, tidak salah kita mengatakan bahawa One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme utama bangsa Yahudi yang menganggap kaum mereka sebagai 'Bangsa Pilihan Tuhan' (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor 'darah keturunan' sebagai faktor penentu Tuhan memilih mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Pilihan ini berasaskan kepada kasih sayang Tuhan 'Yahweh' kepada mereka.

Menurut mereka, keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa lain seperti gambaran yang diberi di dalam 'Perjanjian Lama' (Old Testament) yang menyebut:

"Engkau...wahai Israel adalah bangsa yang dikuduskan oleh Tuhanmu. Engkau telah dipilih oleh Tuhanmu agar engkau menjadi satu bangsa yang paling istimewa dan unik di sisi Tuhan engkau dari seluruh bangsa-bangsa lain yang menyebabkan Tuhan cinta kepada kamu dan memilih kamu tetapi pemilihan kamu adalah kerana kasih sayang Tuhan kepada kamu dan jagaan-Nya terhadap sumpah yang dibuat-Nya dengan bapa-bapa kamu, iaitu Tuhan telah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan menebus kamu daripada perhambaan Fir'aun Raja Mesir ( Deuteronomy V11:6-8).

Sebelum wujudnya apa yang dinamakan pergerakan Zionis secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali dan menjadikan bumi Palestin sebagai negara mereka. Di antara pergerakan awal itu adalah pergerakan Maccabean, pergerakan Barkohhba (117-136M), pergerakan Maosisi al-Kariti, pergerakan Dapd Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M) dan pergerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).

Akhirnya, pergerakan Zionis yang dipelopori oleh Theodor Herzl telah berjaya membawa impian mereka untuk kembali menguasai bumi Palestin. Sejak menguasai Palestin pada tahun 1948, pemimpin Yahudi yang silih berganti itu menjalankan dasar 'penghapusan kaum' terhadap bangsa Arab Palestin sehinggalah ke hari ini.

Dasar-dasar yang dilaksanakan di negara haram Israel itu semuanya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bangsa Yahudi. Dasar ini jugalah yang termuat di dalam gagasan One Israel. Jelas bahawa gagasan rasis Zions itu jauh berbeza konsepnya berbanding dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman sempit seperti mana yang dipamerkan oleh One Israel. Slogan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah bukti nyata gagasan ini tidak bersifat rasis. Seperti yang pernah dihuraikan oleh Najib di dalam Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia itu membawa maksud perpaduan dan kesepakatan, "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman, manakala "Pencapaian Diutamakan" membawa maksud kerajinan dan penghasilan.

Yang jelas kepada kita ialah, 1Malaysia menekankan konsep 'rakyat', bukannya konsep kaum atau bangsa-bangsa tertentu. 'Rakyat' bermaksud 'warganegara' yang mana kerakyatannya sah di sisi undang-undang negara. Justeru, apa juga dasar pembangunan sosioekonomi di bawah gagasan 1Malaysia adalah untuk disertai dan nikmati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum supaya matlamat untuk mencapai perpaduan kebangsaan menjadi kenyataan.

Bukannya mudah untuk memuaskan hati semua kaum kerana apabila sesuatu dasar itu disalah tanggap atau dipolitikkan, maka akan berlaku tuntutan-tuntutan ekstrem daripada kaum-kaum tertentu yang boleh menjejaskan hubungan dan keharmonian kaum di negara ini. Justeru, pernah di dalam satu majlis bersama media, Najib berkata kepada para wartawan: "Saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tetapi soal tanggungjawab dan harapan yang diberi oleh rakyat amat besar".

Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia jauh berbeza dengan gagasan One Israel. Perbezaannya 'umpama langit dengan bumi'. One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme bangsa Yahudi yang mempercayai bangsa mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Ia adalah gagasan yang mengamalkan fahaman kuno yang mendukung konsep 'super race'.

Sebaliknya, gagasan 1Malaysia mendukung konsep 'rakyat' (warganegara). Ini bermakna 1Malaysia memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Tegasnya, 1Malaysia adalah gagasan yang mendukung konsep kesatuan rakyat. Kita meraikan 'kepelbagaian' (kemajmukan kaum) dan mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah).

Menurut Dr. Hassan Ahmad (2010), kesatuan rakyat yang diasaskan kepada kesatuan sosiopolitik-legalistik adalah landasan penting untuk mencapai perpaduan kebangsaan. Negara akan hancur seandainya setiap kaum cuba membentuk 'perkampungan' sendiri, sistem sosial, sistem ekonomi, sistem pendidikan dan sistem politik sendiri yang terpisah daripada dasar, institusi, dan sistem kebangsaan negara.

No comments:

Post a Comment