Monday, 22 November 2010

Forum Jati Diri 1Malaysia

Hari ini saya berpeluang hadir Forum Jati Diri 1Malaysia anjuran bersama Gapena, Berita Harian dan Jabatan Penerangan Malaysia. Tetamu kehormat ialah Tan Sri Pendita Ismail Hussin dan Datuk Abdullah Morad, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia.

Teruja saya bila dapat mendengar kupasan idea tokoh-tokoh yang menjadi panelis forum iaitu Datuk A. Aziz Draman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dr. Lim Swee Tin, cendekiawan Bahasa Melayu dari UPM. Ditambah lagi dengan selitan hujah oleh moderator forum, Datuk Dr. Abdul Latif Bakar yang mewakili Gapena.

Forum ini berkisar tentang bagaimana kita memahami gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia terutama dalam konteks budaya. Dengan membawa contoh-contoh yang terang dan nyata, Datuk A. Aziz menyatakan bahawa bahasa dan budaya Melayu perlu diperkasakan oleh semua pihak. Bahasa Melayu mendapat pengiktirafan perlembagaan manakala budaya Melayu adalah teras kepada Kebudayaan Kebangsaan. Justeru tidak timbul isu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara.

Selain itu, 1Malaysia bukan bermaksud menyamaratakan semua perkara tetapi ia adalah mengembalikan hak masing-masing selaras dengan perlembagaan yang berakar daripada kebudayaan Melayu semenjak ratusan tahun dahulu. Sangat malang sekiranya ada pihak-pihak yang mentafsir 1Malaysia sebagai ‘sama rata’ kerana ia akan berlawanan dengan semangat dan peruntukan perlembagaan.

Dr. Lim pula dengan nada yang penuh bersemangat menegaskan peri mustahaknya masyarakat pelbagai kaum mengerti dengan jelas maksud ‘penerimaan’ yang dijadikan salah satu prinsip dalam Gagasan 1Malaysia. Beliau banyak mengambil contoh diri beliau dan masyarakat Cina dan siam di Kelantan yang berjaya menyerap budaya Melayu dalam kehidupan dan perbualan harian mereka. Menarik sekali apabila beliau menyarankan agar orang Cina di Malaysia perlu insaf bahawa mereka adalah orang Cina warganegara Malaysia bukan orang Cina warganegara Tanah Besar China. Justeru mereka perlu memahami hakikat ini dan berinteraksi dengan kaum lain menggunakan Bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris.

Namun dengan nada yang kesal beliau menyatakan kadang-kadang orang Melayu sendiri tidak memartabatkan bahasa Melayu. Orang Melayu dilihat malu untuk berbahasa Melayu padahal ia adalah bahasa rasmi negara. Justeru untuk mengharap orang lain berbahasa Melayu maka tentulah orang Melayu terlebih dahulu kena berbahasa Melayu.
Semasa mengakhiri forum, Datuk Dr. Latif selaku moderator berhujah bahawa untuk memantapkan jati diri 1Malaysia dalam masyarakat, 2 halangan utama mesti kita atasi iaitu masalah penguatkuasaan dan peranan pemimpin. Sekiranya 2 isu ini dapat kita tangani dengan baik maka Insya Allah, gagasan 1Malaysia akan dapat kita jayakan dan mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Hujah Ketua Pengarah Penerangan juga menarik untuk diperkatakan dalam tulisan ini. Datuk Abdullah semasa dalam ucapan penghargaannya menceritakan pertembungan di antara kedaulatan bahasa dan komunikasi. Beliau mengambil contoh buku kecil terbitan Jabatan penerangan berjudul 1Malaysia. Buku tersebut diterbitkan dalam bahasa Melayu tetapi telah mendapat permintaan untuk diterbitkan dalam tiga bahasa lain. Ini ujarnya untuk tujuan komunikasi agar rakyat semua bangsa faham apa itu 1Malaysia. Dengan nada kesal beliau menyatakan bahawa sepatutnya tidak timbul masalah komunikasi kerana semua rakyat Malaysia patut faham bahasa Melayu, namun realiti adalah sebaliknya. Akur dengan permintaan tersebut, maka Jabatan Penerangan menerbitkan pula dalam bahasa-bahasa seperti yang dimahukan.

Saya merasakan bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh para panelis adalah tepat dan meyakinkan, cuma saya tidak sempat bertanya soalan yang bermain dalam fikiran akhir-akhir ini. Sekiranya berpeluang pada masa-masa yang lain saya ingin bertanya begini: sejauh manakah impak faham liberalisme dan pluralisme yang kini kian merebak dalam masyarakat kita terutama generasi muda terhadap gagasan 1Malaysia?Ianya semakin hari semakin ketara ditambah lagi dengan keintiman pihak mereka dengan parti-parti politik dalam negara. Saya fikir isu ini menarik untuk dikupas dalam satu diskusi yang berasingan.

No comments:

Post a Comment