Thursday, 25 November 2010

Modal insan, kekalutan budaya

Sumber: Utusan Malaysia
Oleh Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

SEORANG pengamal psikiatri British menafsir manusia yang dijadikan sebagai modal dalam ragam pengeluaran sedang menghadapi sejenis penyakit yang dikenali sebagai selesema (affluenza). Oliver James mengkaji hubung kait antara tekanan kepada mendapatkan keperluan material dan kesejahteraan hidup menjadikan manusia semakin kalut dan resah. Ragam pengeluaran yang bersandarkan prinsip, manusia adalah selari dengan lain-lain sumber seperti model, mesin dan metod telah menjerumus suasana mental yang resah, tidak tenteram dan seterusnya menyumbang kepada penyakit.

Maka, apabila Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan berlaku peningkatan penjawat awam yang bermasalah – prestasi rendah, berpenyakit dan disiplin – ramai tidak ramai yang melahirkan rasa terkejut ataupun gelisah. Mereka sudah faham bahawa akibat terlalu menekankan kepada penghasilan dan memenuhi tekanan luaran, penjawat awam seolah-olah sedang dilanda virus affluenza. Sebahagian besar yang menghadapi masalah kesihatan, ada hubung kait dengan tekanan pekerjaan yang mereka terima, termasuk iklim dalam pejabat dan hubungan dengan rakan sepejabat semakin bermasalah.

Sistem pengurusan yang sedang dibudayakan lebih menumpukan kepada peningkatan produktiviti sehingga melupakan nilai-nilai keinsanan yang sepatutnya dijadikan landasan melunaskan tanggungjawab sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang terbaik. Manusia hanya sekadar alat atau modal dalam menghasilkan produk, manusia tidak dianggap sebagai rakan kongsi yang ikut bersama membangunkan kelangsungan organisasi.

Sifat manusia sebagai alat menghasilkan produk telah memunculkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Susun lapis pekerjaan menjadi terlalui berhierarki dan berlapis-lapis sehingga menampakkan bahawa pengurusan atasan lebih penting daripada mereka yang benar-benar menghasilkan produk. Pekerja bawahan kurang mempunyai mobiliti dan peningkatan kerjaya berbanding pengurusan atasan. Inilah faktor yang menambahkan sengsara sesetengan penjawat awam.

Dasar perkhidmatan awam yang memberikan pengiktirafan berlebihan kepada satu skim perkhidmatan menyebabkan lain-lain skim perkhidmatan tawar hati. Mereka masih tetap merupakan asset produktiviti, tetapi hanyalah sekadar memadai.

Asasnya adalah kerana sistem itu sendiri. Sistem yang mengamalkan pelbagai konsep pengurusan moden yang dipinjam daripada budaya pengurusan Barat tidak berupaya menjadikan pekerja sebagai insan. Walau pun pernah dicuba untuk mendefinisikan semula falsafah perkhidmatan awam, ia tetap menerima tolakan yang berganda kerana konsep pengurusan berasaskan falsafah Islam tidak dapat menepati kehendak antarabangsa.

Maka beberapa teori dan penemuan dalam bidang gelagat organisasi, dorongan manusia (dari sifat semula jadinya malas kepada berprestasi tinggi) melalui pengiktirafan kewangan, kehendak ‘pemegang saham’ yang sukar menerima teguran dan pendapat, maka yang hanya menjadi mangsa keadaan ialah penjawat awam. Ketidakselarasan kehendak dan peraturan menyebabkan penjawat awam adakalanya tersepit antara kehendak yang bercanggah itu.

Dalam pengurusan Islam, konsep pengurusan menjurus kepada hasrat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Manusia, hanyalah disebut dengan istilah an-Nas dalam al-Quran adalah bersifat umum. Sifat insan yang digambarkan oleh al-Quran ialah menuju kepada keimanan dan ketakwaan dalam setiap tindak-tanduknya, termasuk berfikir dan berhubung sesama manusia.

Manusia turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan bisikan-bisikan yang sentiasa ada di sekeliling kehidupan mereka. Bisikan-bisikan itu akan menjadi lebih teruja dalam keadaan seseorang itu mempunyai kuasa, terutama kuasa pemutus dan menentukan kedudukan pekerja bawahan. Antara bisikan-bisikan yang sentiasa mencabar kekentalan iman seseorang ialah bisikan hati agar melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga manusia sentiasa lalai, zalim dan resah.

Hal ini merupakan amaran yang telah diutarakan oleh Allah SWT dalam surah an-Nas. Surah tersebut meskipun hanya terdiri dari enam ayat yang pendek, ia tetap merupakan peringatan yang amat besar buat manusia.

“(1) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (2) Yang Menguasai sekalian manusia. (3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (4) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (5) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (6) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Tentunya untuk memahami dengan mendalam mengenai hakikat manusia, kita perlu kembali kepada persekitaran kehidupan manusia itu sendiri. Allah SWT menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, lengkap dengan kuasa berfikir dan membuka pintu rezeki dengan mengharamkan manusia mengkhianati manusia yang lain. Di sinilah kekuatan sistem pengurusan Islam, ia telah memberikan peringatan yang jelas bahawa dalam berorganisasi setiap orang adalah mesti sentiasa berada dalam persekitaran yang harmoni.

Bagi mendapatkan rezeki yang halal, Allah SWT turut mencipta pelbagai tumbuhan, binatang ternakan dan kekuatan akal untuk menggarap apa yang ada dalam alam. Tetapi, Allah juga melarang manusia agar tidak melakukan secara berlebihan sehingga boleh merosakkan alam. Dan, ini semakin bertentangan dengan falsafah pengurusan moden yang akan mengambil apa sahaja tanpa berusaha mengawal kerosakan yang bakal terjadi.

Seseorang pekerja perlu dilatih dengan pengetahuan baru, kerana perkembangan pengetahuan menjadi semakin cepat berubah apabila manusia sentiasa menyibukkan diri melakukan penelitian secara teknikal. Setiap masa manusia memperbaharui tekadnya kerana penerokaan baru akan menjadikan sesebuah organisasi sebagai peneraju pasaran. Peneraju pasaran itulah dilihat sebagai kelompok yang berjaya.

Sistem itu terus berkembang dalam masyarakat dengan tidak menampakkan kesungguhan moral dan ketegasan falsafah agama. Moral dan agama merupakan kepunyaan individu, maka setiap perbincangan hanya difokuskan kepada persoalan yang bersifat mekanistik dan boleh diukur berdasarkan kriteria tertentu.

Percanggahan asas inilah menyebabkan terlalu banyak masukan baru yang dicuba ke dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam bukan sahaja dikehendaki mematuhi nilai-nilai ‘mendewakan’ ketua, menghormati arahan dan keputusan, malah disogokkan dengan pelbagai pendekatan teknikal bagi memberikan imej organisasi dengan lebih gah dan besar.

Ketika musim membangkitkan persoalan kualiti, maka agensi awam rasa ikut bersalah jika tidak mempunyai pengiktirafan piawaian kualiti. Maka berlumba-lumbalah pihak agensi awam untuk mendapatkannya. Setelah memperolehnya, pematuhan prosedur kerja menjadi masalah, sedangkan lebih ramai lagi pekerja bawahan tidak memahami kehendak pihak pengurusan.

Komunikasi hanya bersifat atas ke bawah. Jika ada pun bentuk komunikasi bawah ke atas, ia berlaku dalam ruang yang terhad. Sedangkan dalam Islam manusia digalakkan berhubung, meningkatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan sepanjang masa. Setiap kelemahan dan kekuatan dibincang bersama agar jalan terbaik boleh dicari.

Penjawat awam yang bemasalah bukan tidak boleh dipulihkan. Selagi hayatnya masih ada, mereka masih tetap boleh menyumbang meskipun dilihat mempunyai masalah kesihatan, kecualilah yang bersifat kronik.

Islam tetap memberikan peluang kedua kepada setiap orang, jika ianya tersasul dan menghadapi masalah. Dengan peluang kedua ini, seseorang itu akan muncul sebagai pekerja yang cemerlang, dengan syarat iklim organisasi tidak menyumbang kepada tekanan dan pemaksaan yang keterlaluan. Hakikatnya, di manakah peranan pembimbing kerana teladan Nabi Muhamad SAW dalam pengurusan modal insan jelas memberikan semangat dan motivasi.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiah Malaysia (Yadim) dan juga bekas pegawai takbir diplomatik /kadi/hakim Mahkamah Syariah

No comments:

Post a Comment