Betullah kata orang, kalau dah pembangkang tu, membangkang je lah kerja dia. Saya fikir kewujudan pembangkang dalam konteks politik demokrasi adalah sesuatu yang sihat. Untuk mendapat sebuah kerajaan yang baik, maka secara prinsipnya kena ada pembangkang yang kuat. Ini untuk memastikan prinsip check and balance dapat dipraktikkan sebaik mungkin.
Secara asasnya kerajaan bertindak sebagai penggubal dasar untuk dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Manakala pembangkang pula perlu menjadi watch dog kepada dasar tersebut agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Kalu ini dapat dilaksanakan dalam sesebuah negara, Insya Allah rakyat akan sejahtera dan negara akan aman dan stabil politik dan ekonomi.
Tapi kadang-kadang apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan di sesetengah negara dilihat terlalu kuat sehinggakan corak pemerintahan seolah-olah kuku besi padahal negara dikatakan menganut faham demokrasi. Manakala di satu pihak yang lain pula, pembangkang dalam banyak situasi dilihat hanya semata-mata untuk jadi pembangkang. Tidak kira apa saja polisi kerajaan sama ada baik atau tidak kepada rakyat terus dikritik sesuai dengan peranan mereka sebagai pembangkang.
Di Malaysia saya melihat trend ini semakin berleluasa apabila sistem demokrasi nampaknya telah sedikit demi sedikit disalah gunakan. Kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh demokrasi telah dijadikan suatu restu untuk membantai apa saja institusi dalam negara. Konon pada zaman ledakan maklumat ICT ini manusia sudah melangkau nilai-nilai tradisi. Adab mungkin diguna pakai untuk maksud protokol sahaja manakala dalam kehidupan harian biasa persoalan adab dan adat ini sangat relatif sifatnya. Justeru kini bukan sesuatu yang janggal kita lihat manusia berserban, berkopiah, berjubah tidur atas jalan raya sebagai tanda protes. Jangan kita kaget jika menyaksikan manusia berkopiah, berjanggut lebat memegang lilin hormat kematian mayat bukan Islam. Jangan terkejut jika nama Allah bebas diiklankan oleh sesiapa sahaja di negara kita kerana kita kan demokratik.
Saya fikir ketidaksamaan sambutan Eidul Adha tempoh hari di antara negara kita dan Arab Saudi tidak menimbulkan isu besar dalam kalangan kita orang Islam di Malaysia kerana pengurusan Islam dalam negara adalah antara yang terbaik dalam dunia. Rupanya saya silap, kerana isu ini telah dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat. Ahli Parlimen itu pula ialah Naib Presiden Parti Islam se-Malaysia (PAS). Apa pun kekeliruan telah dijawab oleh YB Menteri JPM Datuk Jamil Khir dan Ketua Pengarah JAKIM. Weblog lain pun ada menyiarkan jawapan dalam versi yang lain tetapi tetap menjawab persoalan yang sama iaitu tiada apa yang salah dalam sambutan Hari Raya Korban yang lalu.
Pada saya perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu pun kerana jika YB berkenaan mengadakan sedikit home work pasti beliau akan jumpa jawapannya. Kalau allergic dengan ustaz-ustaz yang makan gaji dengan kerajaan persekutuan, YB tanyalah ustaz-ustaz dalam PAS yang faham metodologi penetapan Hari Raya bagi sesebuah negara. Janganlah hanya kerana ada ruang untuk bercakap, untuk dapat publisiti, maka benda yang tak patut kita bahas pun ingin dicuba bahaskan. Ini hanya akan menambah mual orang ramai terhadap gelagat orang politik dalam negara kita. Kalau kata bersedia untuk ambil alih pemerintahan dari kerajaan BN maka perelokkanlah perangai dan tingkah laku kita agar ada beza di antara kita dan kerajaan yang kita kutuk itu. Kalu tak, apa guna tukar kerajaan. Baik baiki yang dah sedia ada, daripada mengharap yang belum tentu lagi. Kata orang tua-tua, dentum guruh di langit air dalam tempayan jangan dicurah dahulu kerana belum pasti hujan akan turun. Baik beringat!
No comments:
Post a Comment