Tuesday, 29 April 2014

KATAKAN TIDAK PADA DEMONTRASI HARAM!








Assalamualaikum dan salam 1 MALAYSIA...


PAS kini sedang melakukan kerahan tenaga dan mewajibkan setiap ahlinya supaya turun ke demontrasi haram yang di rancang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 1 Mei 2014 nanti. Himpunan ini dijadual berlangsung disekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke Dataran Merdeka.


Alasan demontrasi untuk menentang usaha kerajaan melaksanakan GST sebenarnya tidak memberikan kelebihan kepada banyak pihak. Pada ketika rakyat mendesak kerajaan supaya memikirkan tentang kenaikan kos sara hidup maka perlaksanaan GST di lihat sebagai sebahagian daripada kaedah untuk memastikan rakyat tidak terus terbeban yang akan dilaksanakan pada April 2015.




Kesan Buruk

Ada yang berpandangan berhimpun itu suatu bentuk kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun sejauh manakah keberkesanan pihak penganjur untuk menjamin demonstrasi yang dijalankan tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada banyak pihak, khususnya rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Jika kita amati, berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan. Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini.


Kalau disoroti pengalaman dahulu, pihak berkuasa seperti polis dan pasukan anti rusuhan seperti FRU dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis yang berdemonstrasi. Wartawan asing dan media yang menyokong agenda perjuangan parti tertentu ternyata membuat liputan berat sebelah apabila hanya menyiarkan sedutan rakaman yang menggambarkan pihak berkuasa bertindak ganas menghuraikan perhimpunan yang diadakan.  

Kerugian Jutaan Ringgit

Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh golongan yang degil ini adalah kerugian yang bakal ditanggung banyak pihak jika demonstrasi haram ini diteruskan. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Datuk Aslah Abdullah mendakwa seramai 21,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan mengalami kerugian RM3.2 juta sehari. Itu baru pemandu teksi. Bayangkan berapa besar jumlah keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung golongan peniaga dan individu di sekitar lokasi yang disasarkan pihak berkenaan untuk berdemo?



Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2009 melaporkan, peniaga di sekitar ibu negara menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta akibat demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didalangi oleh pihak yang sama sehari sebelumnya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meninjau lokasi terbabit, anggaran awal jumlah kerugian itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada para peniaga. Peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman sahaja, menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Jangan Gadai Keharmonian Yang Ada

Biarpun mungkin kita saling berbeza pendirian politik, janganlah kita menggadaikan keharmonian dan keutuhan hubungan antara kaum yang terbina selama ini, demi mencapai matlamat politik sendiri melalui jalan singkat.


Hormatilah hak-hak rakyat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan secara bersama. Menerusi Perlembagaan ini juga, kita dijamin untuk mengamalkan sistem demokrasi terpimpin. Justeru, tidak ada mana-mana individu mempunyai alasan yang lebih konkrit dan munasabah untuk menjadikan perhimpunan haram sebagai medium untuk menyuarakan ketidakpuasan hati, yang akhirnya akan membawa mudarat yang lebih besar kepada kestabilan politik, kesepaduan rakyat dan kedaulatan negara yang tercinta.


Untuk kesekian kalinya, Abe Mat ingin berpesan supaya tolaklah dan janganlah kita layani kumpulan pengacau yang hanya memperjuangkan kepentingan peribadi mereka.  Usahlah biarkan diri kita diperalat oleh golongan yang tidak tahu menghargai kestabilan dan keamanan negara ini semata-mata untuk mencapai matlamat mereka.



Kita rakyat di bumi tercinta, Malaysia tidak sanggup dijajah minda, apa tah lagi kuasa asing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh – Malaysia tetap di hati,  biar di mana kita berada.

SOURCE: 




No comments:

Post a Comment